Gadis K-Pop Diberi Tempoh Seminggu Ke Pejabat Jawi

KUALA LUMPUR: Beberapa remaja perempuan bertudung yang me­lakukan aksi tidak senonoh sewaktu konsert kumpulan K-Pop, B1A4 pada Sabtu lalu diberi tempoh seminggu bermula hari ini (semalam) untuk memberi keterangan di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

 

Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya berkata, jika remaja berkenaan tidak memberikan kerjasama, waran tangkap melalui perintah mahkamah akan dikeluarkan.

 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka supaya memberikan keterangan bagi membantu siasatan sekali gus membolehkan kontroversi berkenaan diselesaikan dengan seberapa segera.

 

“Kes tersebut akan dihadapkan ke mahkamah dan sebarang hukuman atau denda ditentukan oleh badan itu setelah perbicaraan dilakukan.

 

“Seperti kes-kes terdahulu, kebiasaannya pihak mahkamah akan menghantar mereka yang disabitkan dengan kesalahan untuk menghadiri sesi kaunseling bersama Jawi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

 

Hujung minggu lalu, tersebar secara meluas di laman sosial sedutan klip video aksi pelukan dan ciuman beberapa remaja Islam bersama-sama anggota kumpulan itu dalam konsert yang berlangsung di KL Live Center.

 

Video berdurasi tiga minit 21 saat itu menunjukkan empat pe­rempuan yang memakai tudung bukan sahaja merelakan diri dipeluk dan dicium malah membalas pelukan ahli kumpulan berkenaan.

 

Tambah Paimuzi, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam.

 

“Pihak kami sebenarnya sedang menjalankan siasatan dan golongan penyokong K-Pop yang terlibat dengan kes tersebut masih belum dikenal pasti,” katanya.

 

Dalam perkembangan sama, Paimuzi turut mengambil kesempatan untuk menasihati remaja agar berhati-hati semasa berhibur de­ngan mengambil kira ajaran Islam.

 

Katanya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam kehidupan anak-anak agar tidak terjebak dengan perkara yang negatif seperti ini.

 

“Dalam setiap aktiviti anak-anak, ibu bapa harus mengambil tahu dan sentiasa menasihati mereka agar bersikap sopan dan memelihara akhlak supaya tidak mudah terjerumus dengan aktiviti tidak sihat,” katanya. – Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.