Fouziah Tak Kekok Sodok Lumpur

Sepanjang minggu lalu, kecoh dengan cerita Ifa Raziah beraksi berani di pentas Gegar Vaganza bersama pelakon Hisyam Hamid hingga ditegur juri, Datuk Rosyam Nor.

 

Ia berlanjutan kerana Ifa meluah a­kan rasa tidak puas hatinya dengan teguran Rosyam. Rasanya kalau Ifa terima teguran Rosyam dengan hati terbuka, tentu ia senyap begitu saja tetapi apabila luahan hatinya terus mendapat perhatian, isu ini terus jadi bahan bualan.

 

Begitu juga hubungan cinta Zizan Razak dengan Emma Maembong. Kedua-duanya berbalas kenyataan mengenai punca dan masalah mereka hingga Emma memutuskan hubungan cinta yang terjalin dua tahun. Tidak tahu apakah semua itu juga episod meraih publisiti media.

 

Namun saya paling terkesan de­ngan berita muka depan Harian Metro pada 6 Januari lalu, Semangat Piatu mengenai dua sahabat, Amirul Shazrie Azhar Shah, 19, dan Fajrul Iman Mohamad, 19, sanggup meminjam skuter bapa saudara kerana mahu membantu mangsa banjir di Kelantan.

 

Dua sahabat ini bertolak dari Gombak, Selangor jam 4 pagi pada 3 Januari menuju ke Kota Bharu, malangnya mereka kemalangan apabila sampai di Kemaman, Terengganu. Fajrul yang membonceng terbunuh manakala Amirul cedera.

 

Difahamkan, dua remaja ini mendaftar nama untuk menyertai misi membantu mangsa banjir di Kelantan yang tiada pengangkutan ke sana kerana mereka tidak menyediakannya.

 

Dek semangat berkobar-kobar mahu membantu, mereka sanggup menunggang skuter dan membawa bersama mop, berus dan sarung taÂngan untuk membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka.

 

Bagi mereka, kalau wang ringgit atau barang mereka tidak mampu, disandarkan tulang empat kerat untuk sama-sama meringankan beban.

 

Memang ramai sanggup membantu mangsa banjir sama ada di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak. Betapa prihatinnya masyarakat kita yang sanggup meninggalkan keluarga untuk membantu mangsa banjir. Mereka membawa barang seperti pakaian, makanan dan keperluan lain.

 

Ramai juga artis turun padang membantu dan turut mendapat liputan media. Antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Aaron Aziz, Afdlin Shauki, Fizo Omar dan Raja Azura.

 

Malah, ming­gu ini Selebriti Metro Ahad paparkan kru Mentor Legend bersama mentor, Amy Search, Ella, Dayang Nurfaizah dan Mas Idayu menghulur sumba­ngan kepada mangsa banjir di Kelantan.

 

Namun melihat gambar seorang artis ini, timbul rasa kagum. Seakan-akan tidak percaya artis jelita ini sang­gup turun padang membersih­kan kotoran dan lumpur tinggalan banjir.

 

Artis dimaksudkan itu ialah pelakon Fouziah Gous yang sama-sama menyingsing lengan bersama wanita lain untuk membersihkan Tadika Kemas Kampung Sirih, Kota Bharu.

 

Kalau artis lain lebih kepada menghulurkan sumbangan barang, Fouziah sanggup mencurah keringat mengharung selut membersihkan lumpur.

 

Rasa terharu ini mendorong saya ingin berkongsi pengalamannya dalam ruangan ini. Fouziah yang juga pengacara baru Nona untuk 2015 melawat kawasan banjir sekitar Kelantan pada 5 dan 6 Januari lalu bersama kru Nona. Selain menghulurkan bantuan, mereka sempat membantu membersihkan Tadika Kemas.

 

Kata Fouziah, Allah menguji mereka kerana mereka mampu menghadapinya dan Allah pula me­nguji kita ‘mampukah kita membantu­nya’.

 

Fouziah akui tiada siapa menyuruhnya melakukan semua itu tetapi apabila melihat mereka beramai-ramai membersihkan tadika, dia terus mengambil penyodok untuk sama-sama membantu.

 

Tambah pula dia tidak suka duduk diam. Baginya, apalah sangat sumbangan kecil yang dicurahkan berbanding mangsa banjir yang terpaksa berdepan dugaan besar itu. Malah, ada yang hilang tempat ting­gal apabila rumah dihanyutkan air.

 

Walaupun tidak tahan habuk, dia tetap mengharungi kawasan yang banyak habuk. Badan bermandi peluh disifatkan satu kepuasan kerana dapat membantu mereka.

 

Ini juga bukan kali pertama Fouziah menghulur bantuan kerana tahun lalu dia turut membantu mangsa banjir di Kuantan, Pahang.

 

Dek semangat berkobar-kobar ingin membantu, Fouziah akui lupa melakukan persiapan diri sebelum ke sana seperti mengambil suntikan untuk pencegahan penyakit.

 

Dia lebih utamakan barangan yang hendak dibawa untuk diserahkan kepada mereka sampai menyiapkannya hingga jam 3 pagi. Namun Fouziah tidak lupa membawa bekalan minuman sarang burung yang menjadi amalannya setiap hari untuk penjagaan kesihatan.

 

Kunjungan kali ini juga Fouziah tidak lupa membawa barang untuk kanak-kanak kerana tahun lalu rasa hampa dan terkilan apabila ramai kanak-kanak menanti kedatangannya, tetapi tiada barang sesuai untuk diberi. Fouziah membawa bungkusan berisi cokelat dan gula-gula untuk diagihkan kepada kanak-kanak.

 

Suaminya, Md Zhafran Md Yusof turut membantu bersama rakan. Kata Fouziah, suaminya ada cara sendiri membantu mangsa banjir iaitu masuk ke kampung dan me­nyerahkan sendiri bantuan kepada penduduk kampung yang dirasakan terpinggir dan mungkin tidak mendapat bantuan.

 

Dalam kunjungan dua hari itu, Fouziah turut melawat Kuala Krai dan Manik Urai. Katanya, paling menyedihkan ialah Manik Urai kerana seluruh kampung musnah.

 

Fouziah dan suaminya mengatur rancangan untuk mengumpul dana bagi membantu mangsa banjir memulakan hidup baru kerana ramai antara mereka hilang tempat tinggal.

 

Sudah tentu untuk membina rumah dan sebagainya memerlukan kos yang banyak dan kini perbincangan dengan beberapa pihak dilakukan untuk mencari wang membantu mereka. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.