CEO AirAsia Indonesia Akui Berlaku Kecuaian

14 JAN: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko mengakui bahawa syarikat itu melakukan “kecuaian pentadbiran” apabila memohon perubahan terhadap jadual penerbangan membabitkan laluan Surabaya-Singapura.

 

Katanya, mereka hanya memaklumkan secara lisan kepada Kementerian Pengangkutan berkaitan perubahan itu.

 

“Saya mengakui bahawa kecuaian pentadbiran berlaku apabila memohon perubahan terhadap jadual penerbangan memandangkan maklumat lisan tidak sampai ke kementerian berkenaan,” kata Sunu dipetik dalam akhbar The Jakarta Post.

 

Sementara itu, bercakap pada perbicaraan pertama dengan Suruhanjaya Dewan Perwakilan V berkaitan pengangkutan, Sunu mengakui bahawa syarikat penerbangan itu hanya dibenarkan terbang empat kali seminggu – Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.

 

Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal terhempas di dalam Laut Jawa pada 28 Disember lalu.

 

Sehingga kini hanya 39 mayat ditemui manakala 114 mangsa lagi masih belum ditemui.

 

Mayat terakhir yang ditemui pasukan pencari adalah mayat pasangan suami isteri warga Korea Selatan, Seong Beom Park dan isterinya Kyung Hwa Lee pada 9 Januari lalu. – BNBBC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.