Buruh Menangis Dihukum Penjara

KOTA BHARU – Air mata kesal. Itu yang dapat digambarkan buat seorang buruh yang menangis di mahkamah tinggi, di sini, semalam, selepas dihukum penjara 10 tahun dan 16 sebatan kerana kesalahan memiliki dadah.

 

Mohd Hafizuddin Rosli, 25, dijatuhi hukuman oleh Hakim, Datuk Azman Abdullah selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan memiliki keseluruhan 39,399 dadah jenis metamphetamine seberat 560.66 gram di Kampung Gual Tinggi, Gual Sintok, Rantau Panjang, Pasir Mas, pada jam 2.45 petang, 30 Mac tahun lalu.

 

Dalam serbuan itu, pe_ngadu, Inspektor Nor Badrul Hisham Md Nor bersama 10 anggota tiba di rumah tertuduh dan mendapati tertuduh cuba melarikan diri.

 

Berlaku pergelutan, namun tertuduh berjaya ditahan di dapur dan ketika itu, dia mencampakkan satu bungkusan ke lantai mengandungi 800 pil seberat 11.85 gram.

 

Siasatan lanjut, tertuduh kemudian menunjukkan lokasi dia menanam satu tin Milo yang dibungkus plastik hitam di kawasan hutan tidak jauh dari tempat ditahan dan apabila dibuka, terdapat 608 pil seberat 8.76 gram.

 

Seterusnya, tertuduh membawa polis sejauh 20 meter dan menunjukkan satu tong plastik hitam di atas tanah ditutupi daun kering, di dalamnya mengandungi 37,991 pil seberat 540.27 gram.

 

Pada prosiding itu, peguam, Muhammad Hasif Hasan merayu mahkamah mengenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan alasan usia tertuduh masih muda dan mempunyai tanggungan isteri serta seorang anak kecil.

 

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kepada tertuduh, paling kurang 10 tahun dengan mengambil kira jumlah dadah yang terlalu banyak.

 

“Bayangkan berapa ramai yang akan terlibat jika dadah ini terlepas kepada masyarakat. Nilainya pula langsung tidak mendatangkan apa-apa hasil atau keuntungan kepada negara, malah berterusan menjadi musuh nombor satu sejak berkurun lamanya.

 

“Mohon hukuman yang mampu memberi pengajaran,” katanya. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.