BR1M 2015 Mula Diagih 
15 Januari Dan 12 Februari

PUTRAJAYA 13 Jan. – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diagih mulai 15 Januari ini bagi penerima yang sudah mengemas kini maklumat pada tahun lalu sementara mereka yang lambat berbuat demikian akan menerima bantuan itu pada 12 Februari.

 

Pengagihan pertama pada 15 Januari melibatkan 4.9 juta orang sementara agihan pada 12 Februari dijangka melibatkan 2.9 juta penerima.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pengagihan kedua perlu dilakukan memandangkan tarikh akhir untuk mengemas kini maklumat BR1M telah dilanjutkan kepada 31 Januari ini disebabkan banjir besar yang berlaku di beberapa negeri.Mesej Whatsapp Palsu BR1M Guna Nama PM Najib

 

Ahmad pada masa yang sama menjelaskan, maklumat mengenai jadual pemberian BR1M mengikut bank yang disebar melalui aplikasi WhatsApp adalah tidak tepat dan dipercayai dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Beliau berkata, mesej palsu yang memetik nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu antaranya untuk menim­bulkan kemarahan rakyat apabila mereka melakukan semakan di bank dan mendapati BR1M belum masuk ke dalam akaun.

 

“Pemilik akaun Bank CIMB telah menyemak akaun mereka seawal 11 Januari dan mendapati BR1M tidak masuk dan akhirnya memarahi kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

Beliau mengulas sebaran mesej melalui WhatsApp yang antaranya mendakwa bank tertentu termasuk Bank CIMB dan Bank Rakyat mengagihkan BR1M lebih awal iaitu pada 11 Januari.

 

Dalam pada itu, Ahmad berkata, sebahagian kecil penerima yang belum memiliki akaun bank akan menerima BR1M dalam bentuk baucar dari 17 Januari hingga 31 Mac.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada tahun ini, Skim Khairat Kematian akan menggantikan insurans takaful berkelompok (i-BR1M) yang dilaksanakan pada 2014 dan keadaan itu memerlukan penerima BR1M mengemas kini dan mengisi maklumat waris.

 

“Waris boleh pergi ke Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan membawa kad pengenalan sendiri dan sijil kematian penerima BR1M mulai 2 Februari ini untuk menerima khairat kematian RM1,000 selain baki BR1M yang belum disalurkan,” katanya.

 

Mengenai i-BR1M yang dilaksanakan pada 2014, Ahmad berkata, pihak berkenaan masih boleh melakukan tuntutan sehingga 31 Mac untuk kematian akibat kemalangan dan hilang upaya kekal. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.