Awie Dakwa Rozana Amalkan Khurafat

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Penyanyi rock dan pelakon Awie mendakwa isterinya, Rozana Misbun mengamalkan perkara syirik dan khurafat berdasarkan penemuan pelbagai barang berunsur darah, rambut dan tulang termasuk patung kemaluan lelaki yang diperbuat daripada emas tulen di rumah mereka.

 

Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Otham turut mendakwa menemui patung Buddha yang diperbuat daripada logam dan tangkal serta tali pusat bayi yang dibungkus dengan kain hitam dan kuning.

 

Katanya, Awie menjumpai semua barangan itu tersorok dalam almari dan ditanam dalam pasu bunga selain menjumpai satu botol kecil mengandungi cecair dan rambut di bawah tilam dalam bilik tidur mereka.

 

Menurut Mohd. Zaidi, Awie telah meminta penjelasan Rozana namun dia tidak mengaku dan telah menunjukkan reaksi terkejut bagaimanapun Awie telah memaksa isterinya pergi ke rumah bomoh terlibat untuk mendapatkan penjelasan.

 

“Rozana juga telah mengaku kepada Awie, dia memakai botox dan susuk untuk mengubah wajahnya malah telah membawa suaminya bertemu dengan bomoh yang memakaikan susuk itu, justeru wajah Rozana sekarang bukanlah seperti wajahnya yang dahulu,’’ jelas beliau.

 

Selain itu, Mohd. Zaidi mengemukakan alasan mengenai sikap curang Rozana yang didakwa menjalinkan hubungan dengan orang kenamaan, sikap tidak amanah wanita itu yang membelanjakan wang simpanan Awie untuk membeli barangan mewah serta tidak mengambil berat kebajikan anak-anak mereka sebaliknya menyerahkan sepenuhnya penjagaan anak kepada pembantu rumah mereka.

 

Tegas beliau, barangan itu telah dikemukakan kepada mahkamah semasa Awie memohon perintah hak penjagaan anak sebelah pihak (ex-parte) dan mahkamah berpuas hati serta yakin mengenai bukti yang dikemukakan selanjutnya mengeluarkan perintah berkenaan.

 

Mohd. Zaidi berkata demikian dalam hujahan balas berhubung isu keterdesakan memohon hak penjagaan anak secara sebelah pihak yang dibangkitkan peguam syarie, Jamal Mohd. Lokman Sulaiman yang mewakili Rozana semasa perbicaraan permohonan mengetepikan perintah itu yang difailkan Rozana terhadap Awie.

 

Kes itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain.

 

Terdahulu peguam syarie itu berkata, Awie tidak mengetahui sijil nikah perkahwinannya dengan Rozana adalah palsu sehinggalah isterinya membangkitkan perkara itu di mahkamah.

 

“Adalah tidak wajar menuduh anak guam saya menipu sijil nikah semasa memohon hak penjagaan anaknya kerana selama sembilan tahun perkahwinan mereka, tidak pernah timbul isu sijil nikah palsu malah anak guam saya tidak pernah menyembunyikan sijil nikah ini daripada isterinya,’’ ujarnya.

 

Malah kata beliau, Awie tidak pernah menafikan ke­nya­taan bekas Ketua Peno­long Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-undang Ke­luarga Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Yusoff Abu Bakar yang mengesahkan sijil itu palsu.

 

“Tidak perlulah anak guam saya dedahkan di mana dia mendapatkan sijil nikah itu kerana dia amat menyakini ia sah dan setakat itu sahaja pengetahuannya tentang sijil itu sehinggalah isterinya mempertikaikannya,’’ katanya.

 
Kata beliau, Rozana sendiri mengakui Awie adalah suaminya yang sah malah setiap anak mereka mempunyai sijil kelahiran yang sah semasa Awie mengemukakan permohonan perintah hak jagaan anak itu.

 

Justeru beliau memohon mah­kamah meneliti isu tersebut secara halus namun menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk mengesahkan sama ada sijil nikah berkenaan palsu atau sebaliknya.

 

Awie, 47 dan Rozana, 37, bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha.

 

Sebelum itu, Jamal Mohd. Lokman dalam hujahannya menegaskan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk menerima permohonan Awie kerana pendaftaran permohonan itu berpandukan sijil nikah yang palsu.

 

“Isu anak guam saya mengamalkan perkara khurafat hanyalah dakwaan suaminya tanpa pembuktian lanjut justeru ia perlu diketepikan kerana tidak wujud desakan untuk suaminya memohon perintah hak jagaan anak itu,’’ katanya.

 
Justeru, beliau memohon hak penjagaan anak itu diserahkan kepada Rozana berikutan tiada prosiding pengesahan mengenai pernikahan pasangan itu.

 

Mahkamah kemudian menetapkan esok bagi keputusan pengesahan sijil nikah berkenaan dan bidang kuasa mahkamah untuk meneruskan perbicaraan mengenai permohonan untuk mengetepikan perintah hak jagaan anak secara sebelah pihak. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.