KUALA LUMPUR – Sebanyak 65,189 permohonan Bantuan Khas COVID-19 diterima setakat 6 Disember lalu, dengan 55,184 sedang diproses dan 22,336 lagi sudah dilulus membabitkan bantuan sebanyak RM28.6 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid, berkata manakala bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 pula, sebanyak 11,816 permohonan diluluskan dengan jumlah bantuan RM56.8 juta.

“Tiada peruntukan khusus pada 2022 daripada kerajaan bagi bantuan ini kerana ia menggunakan Tabung COVID-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menerima sumbangan daripada orang ramai, korporat, institusi diraja dan anggota pentadbiran,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai statistik terkini permohonan dan kelulusan Bantuan Khas COVID-19 dan bantuan pengurusan COVID-19 bawah NADMA serta peruntukan kerajaan untuk dua bantuan itu bagi 2022.

Sekiranya berlaku gelombang COVID-19 yang seterusnya, Mastura berkata, kerajaan akan menambah dana bagi menampung keperluan jika baki tabung COVID-19 NADMA tidak mencukupi untuk membuat bayaran.

Memetik Bernama, setakat ini, beliau berkata, kerajaan telah menyalurkan bantuan awal bagi COVID-19 sebanyak RM61 juta.