Itu Gambar Lama, Temu Dr Mahathir Untuk Halang Tindakan Haramkan UMNO – Tok Mat

SEREMBAN – Gambar beberapa pemimpin tertinggi UMNO bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi viral sejak malam tadi adalah foto lama yang dirakamkan pada September lalu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia tiada kaitan mengenai desas-desus lebih ramai wakil rakyat dan pemimpin akan keluar daripada parti berkenaan.

Katanya, gambar itu diambil tiga bulan lalu ketika beliau dan beberapa pemimpin tertinggi parti bertemu Dr Mahathir bagi menghalang tindakan mengharamkan UMNO.

“Foto itu tiada kaitan dengan insiden Ahli Parlimen di Sabah keluar parti (semalam). Gambar itu sudah lama, kalau tidak silap awal September lalu.

“Pertemuan kami bagi meminta Tun (Mahathir) jangan bubarkan UMNO kerana ada usaha berbuat demikian sebelum ini,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohamad menyatakan pendirian tidak akan mengkhianati UMNO, tambahan pula parti itu setakat ini memiliki 43 kerusi selepas 11 Ahli Parlimennya meninggalkan parti.

“Saya tidak akan keluar UMNO. Pertemuan yang lalu juga tidak membincangkan siapa yang mahu keluar UMNO,” katanya.

Bermula malam tadi, tersebar gambar di Facebook dan aplikasi WhatsApp menunjukkan Mohamad, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin makan malam bersama Dr Mahathir.

Selain itu, gambar pemimpin berkenaan sedang menikmati makan malam juga turut dijadikan viral.

Ia menarik perhatian ramai pengguna laman sosial dan ada yang mendakwa ia adalah bukti ada pemimpin UMNO yang mahu keluar parti dan ada menganggap mereka mahu meminta pertolongan daripada Dr Mahathir.

Ia turut menimbulkan spekulasi kononnya beberapa pemimpin UMNO kini dalam persiapan untuk keluar parti berkenaan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.