Ini Sudah Langgar Janji, Dr Mahathir Jangan Jadi Pengutip Sampah – Ronnie Liu

PETALING JAYA – DAP mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad sudah 2 kali melanggar janji apabila menerima bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menyertai PPBM.

Setiausaha DAP Selangor Ronnie Liu berkata, beliau pernah mendengar Dr Mahathir menggelar pemimpin Umno sebagai “tidak berguna” dan “sampah” sewaktu pertemuannya dengan beberapa aktivis dan NGO.

“Saya tertanya-tanya adakah Dr Mahathir masih ingat pertemuannya dengan beberapa aktivis dan NGO menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila beliau memberi jaminan ketika itu tidak akan menerima ‘katak’ daripada Umno.

“Saya masih ingat lagi, kerana saya berada di sana bersama-sama Waytha Moorthy. Ya, Waytha Moorthy yang kini sudah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Saya masih ingat Dr Mahathir menggelar pemimpin Umno ‘tidak berguna’ dan ‘sampah’. Jika mereka sampah, saya sendiri berharap Dr Mahathir tidak akan menjadi pengutip sampah dan membawa mereka yang lain masuk ke dalam PPBM,” katanya.

Tambah Ronnie, Dr Mahathir akan dilihat sebagai pengkhianat kepada pengundi pada PRU14 yang berhasrat menumbangkan kerajaan diketuai Umno, sekiranya membawa “katak” dari Sabah yang meninggalkan Umno semalam untuk menyertai PPBM.

“Jangan katakan kepada saya sekarang ini Dr Mahathir mahu mereka masuk semula ke dalam kerajaan melalui pintu belakang PPBM. Saya sedar PPBM hanya mempunyai beberapa ahli Parlimen sahaja, berbanding DAP dan PKR.

“Namun saya yakin di masa akan datang PPBM akan boleh menang lebih banyak kerusi. Bersabarlah, kenapa cuba segera membesar dengan cara begini. Ini bukanlah cara yang betul,” katanya.

Ronnie berkata, sekiranya Dr Mahathir membenarkan pemimpin Umno dari Sabah yang keluar dan menyertai PPBM, ia akan menyebabkan perkara baik dilakukannya musnah.

“Adakah Dr Mahathir tahu, pada satu ketika PKR hanya mempunyai seorang ahli Parlimen sahaja iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Adakah Dr Mahathir juga tahu pada satu ketika kerusi ahli Parlimen DAP pernah berkurangan sebanyak 9 kerusi. Kita jaga dan kita membesar secara organik. Inilah caranya,” katanya.

Umno Sabah kini lumpuh apabila Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli politik bebas.

Mereka yang keluar parti itu terdiri daripada 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian Umno Sabah.

Dr Mahathir sebelum ini mendedahkan Mustapa beberapa kali bertemunya semasa masih menjadi menteri. Ketika itu, Mustapa menyatakan rasa tidak gembira dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak. – FMT

5 thoughts on “Ini Sudah Langgar Janji, Dr Mahathir Jangan Jadi Pengutip Sampah – Ronnie Liu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.