Dr Mahathir Sahkan Temu Wakil Rakyat UMNO Sebelum Mereka Keluar Parti

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beberapa bekas pemimpin UMNO Sabah yang keluar daripada parti itu, ada bertemunya di Putrajaya minggu lalu.

Perdana Menteri berkata, pertemuan itu diadakan kerana mereka mahu menyatakan hasrat untuk meninggalkan UMNO kepadanya.

“Ya, mereka ada bertemu saya dan beritahu yang mereka mahu tinggalkan UMNO,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran PROTON X70 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 14 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Mereka termasuk sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Turut sama ialah empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), manakala dua lagi Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Yamani Musa, yang belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, turut menyuarakan hasrat keluar UMNO untuk bersama kumpulan terbabit.

Ditanya mengenai wujud plot tertentu untuk menarik pemimpin UMNO meninggalkan parti keramat Melayu itu, Dr Mahathir menafikannya dan menegaskan mereka keluar atas kehendak sendiri.

“Mereka mahu keluar. Mereka ada fikiran dan pandangan tersendiri. Jika mereka tidak mahu keluar, mereka boleh kekal dalam UMNO,” katanya.

Mengenai kesediaan parti komponen PH untuk menerima bekas pemimpin UMNO Sabah itu sebagai ahli, Dr Mahathir berkata, ia bergantung kepada sikap serta sama ada mereka memiliki rekod melakukan kesalahan semasa pentadbiran lalu.

“Ia bergantung pada sikap mereka. Jika mereka membantu dan tidak melakukan kesalahan pada masa lalu, kita akan terima mereka.

“Mereka perlu kekal sebagai wakil rakyat bebas buat masa ini dan menunjukkan sokongan kepada kerajaan,” katanya. – BH

One thought on “Dr Mahathir Sahkan Temu Wakil Rakyat UMNO Sebelum Mereka Keluar Parti

  • December 13, 2018 at 12:59 pm
    Permalink

    Tapis sedalam2nya jika ada bekas2 parti yg duly cakap tk semenggah?? Lupa le awak dulu cakap apa malulah weh?? Ni baru nk masuk bersatu?? Ibarat lalang ..umang2 yg tk bolih dipercayai?? Tapis selidik apa hal pula nk masuk bersatu??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.