Anggota Polis Antara Tujuh Cedera Kemalangan Dekat Terowong Menora

KUALA KANGSAR – Dua orang anggota polis antara individu terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tangki muatan simen dan bas ekspres di KM257.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Terowong Menora pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim, kemalangan yang berlaku pada pukul 3.30 petang itu menyebabkan tujuh orang, termasuk pemandu bas dan lori, mengalami cedera ringan.

Kesemua mangsa iaitu empat lelaki dan tiga wanita dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati lori tangki dari arah selatan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar guard rail(penghadang jalan), lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh bas yang menghala ke selatan.

“Kemalangan ini turut melibatkan dua anggota polis Kuala Kangsar, seorang darinya sedang bercuti dan dalam perjalanan menunaikan umrah, seorang lagi juga bercuti dan mahu balik ke Sabah.

“Kedua-dua mereka berada dalam bas dan menuju ke Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Kemalangan itu turut mengakibatkan aliran trafik dari kedua-dua arah sesak lebih lapan kilometer. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.