Jantung Bayi Di Dada Kanan

BALING – Kedudukan jantung seorang bayi perempuan, Nur Umairah Jaafar yang berusia empat bulan terletak di kanan dadanya berbanding manusia normal lain di sebelah kiri.

Kedua-dua ibu bapa bayi perempuan itu, Jaafar Ismail, 42, dan Zaleha Ishak, 37, dari Kampung Banggol Serdang, Kuala Ketil dekat sini mengaku terkejut apabila dimaklumkan oleh doktor mengenai kedudukan jantung bayi mereka, lapor Kosmo.

Menurut Zaleha, Umairah yang dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani pada 12 Ogos lalu didapati sihat dan tidak mempunyai masalah kesihatan lain yang serius.

Bagaimanapun katanya, pe­meriksaan lanjut yang dijalankan ke atas bayi perempuannya yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik selepas itu didapati mempunyai jantung di sebelah kanan dadanya.

“Bayi perempuan saya itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP), Pulau Pinang untuk pemeriksaan jantung secara lebih terpe­rinci. Alhamdulillah, bayi pe­rempuan saya itu disahkan sihat walaupun jantungnya terletak di sebelah kanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Serdang, Kuala Ketil dekat sini semalam.

Zaleha memberitahu, dia dan suaminya terpaksa membawa Nur Umairah ke HSAH dalam tempoh dua minggu sekali untuk pemeriksaan kesihatan.

Pada masa sama, tambah­nya, Nur Umairah juga akan dibawa berjumpa doktor pakar untuk pemeriksaan ulangan kesihatan jantungnya di HPP pada 28 Februari 2018.

Sementara itu, Jaafar berkata, dia yang bekerja sebagai penoreh getah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk berulang-alik ke HSAH setiap dua minggu sekali untuk pemeriksaan kesihatan anak bongsunya itu.

“Saya turut menanggung lima lagi anak yang berusia empat hingga 15 tahun termasuk perbelanjaan persekolahan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Jaafar dan Zaleha di talian 019-435 4830.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.