Muhyiddin Terima Baik Sikap Berbesar Hati Najib

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyi­ddin Yassin menerima baik sikap berbesar hati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdamai bagi mengukuhkan ikatan UMNO.

 

Berikutan itu, beliau berharap langkah-langkah akan dibuat bagi menyelesaikan masalah yang di­bangkitkan beliau.

 

“Baguslah Presiden berbesar hati, jadi selepas ini saya nak lihat langkah-langkah yang akan dibuat untuk menyelesaikan masalah yang saya bangkitkan,” katanya kepada pemberita di akhir Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

 

Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO itu, Najib yang juga Presiden UMNO dan Perdana Menteri berkata, beliau ‘memilih berjiwa besar untuk berdamai’ dalam usaha mengukuh­kan ikatan UMNO namun pada masa sama menegaskan jika tawaran itu ditolak para penentang­nya, bererti mereka menolak kemahuan para perwakilan UMNO.

 

Muhyiddin yang digugurkan daripada Kabinet pada Julai lalu kerana mengkritik Najib berhubung isu 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion, berkata, isu-isu yang sering dibangkitkan beliau itu adalah untuk kepentingan rakyat semata-mata dan bukan bersifat peribadi.

 

“Bukan masalah saya, tapi ini masalah rakyat supaya rakyat rasa yakin dan percaya apa yang beliau sebutkan itu akan dia betulkan dan tidak ada syak wasangka,” kata Muhyiddin.

 

Ditanya mengapa beliau tidak mahu sama-sama bermaafan dalam perkara ini, Muhyiddin berkata, tiada soal pergaduhan yang cuba dibangkitkan, seba­liknya ia adalah soal perjua­ngan dalam menegur kelemahan kepemimpinan yang perlu dite­rima secara terbuka oleh semua.

 

“Mana ada pergaduhan, ini soal prinsip perjuangan. Kalau ada apa-apa perkara, sama-sama kita betulkan, kalau ada kelemahan kita buat teguran, saya mempunyai pendirian yang tegas me­ngenai (perkara) ini,” katanya.

 

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyifatkan hubungannya dengan Presiden parti masih terjalin dan tetap utuh seperti sebelum ini.

 

Mohd. Shafie berkata, tiada pertelingkahan berlaku antara beliau dengan Perdana Menteri sehingga boleh melupuskan hubungan persahabatan yang telah terbina sejak sekian lama. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.