Mahkamah Khas Bicara Kes Militan Akan Diwujud – Najib

KUALA LUMPUR – Sebuah mahkamah khas untuk membicarakan kes dan individu yang dikaitkan dengan kumpulan militan atau pengganas akan diwujudkan bagi menangani isu itu yang kini menjadi ancaman di seluruh dunia, kata Datuk Seri Najib Razak.

 

Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan ketua hakim negara untuk melaksanakan mahkamah itu.

 

“Kalau (mahkamah) nak bersidang malam pun tak apa, janji orang ni (militan) jangan buat jahat, angkara (yang boleh) menyebabkan ramai orang terkorban di Malaysia.

 

“Apa dah jadi di Tunisia, Sharm el-Sheikh (di Mesir), Paris… macam-macam,” kata Presiden UMNO itu ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

 

Beliau berkata ketika ini Malaysia terselamat daripada serangan pengganas kerana kecekapan dan ketegasan kerajaan dalam tindakan bagi mengelakkan kejadian seperti itu.

 

“IS (Kumpulan pengganas Daesh) ini dahsyat. Kita dah tangkap 130 orang kita (rakyat Malaysia). Baru-baru ni (yang ditangkap) baru balik Syria, ada pakar buat bom… jadi jaga sikit. Kita (Malaysia) tak jadi sesuatu (serangan pengganas) sebab kita cekup sebelum dia sempat buat sesuatu. Jadi jangan apologetik,” katanya.

 

Perdana Menteri menyerahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mengambil tindakan dalam isu itu.

 

“Isu keselamatan ini terserah kepada Zahid dan Hisham. Ceritalah habis-habisan tentang ancaman ini,” katanya.

 

Najib berkata soal keselamatan di Sabah juga akan diberi tumpuan oleh kerajaan.

 

Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

 

Insiden itu menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.

 

Selain itu, enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna manakala dua anggota tentera turut terbunuh bertempur dan dalam kemalangan operasi di Lahad Datu.

 

Susulan peristiwa serangan itu, kerajaan mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

 

Ini disusuli dengan penubuhan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sebagai landasan perundangan kepada ESSCOM. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.