Kumpulan K-Pop ‘Oh My Girl’ Ditahan Disangka Pekerja Seks

LOS ANGELES – Sebuah kumpulan pop wanita Korea Selatan (K-Pop) ditahan di sebuah lapangan terbang Amerika Syarikat (AS) selama 15 jam selepas mereka disangka sebagai pekerja seks semasa pemeriksaan kastam negara ini, kelmarin.

 

Kumpulan Oh My Girl itu baru tiba di AS untuk menjalani penggambaran album mereka sebelum ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.

 

Menurut ejen Oh My Girl, kumpulan yang terdiri daripada lapan anggota berumur antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan pihak kastam selama 15 jam selepas anggota penguatkuasa memeriksa bagasi mereka yang mengandungi kostum dan prop band berkenaan.

 

Syarikat rakaman kumpulan itu, WM Entertainment berkata, pihak imigresen AS kemudiannya memberi perhatian terperinci terhadap kuantiti pakaian yang terlalu banyak dan mempersoalkan hubungan mereka.

 

“Mungkin kerana usia mereka masih muda, mereka disangka sebagai pekerja seks,’’ kata satu kenyataan sebagaimana lapor portal Mirror.co.uk.

 

Oh My Girl yang diwujudkan pada Mac lalu kemudiannya dibebaskan dan dihantar pulang ke Korea Selatan dan agensi mereka sedang mendapatkan khidmat nasihat undang-undang sama ada penahanan tersebut mematuhi undang-undang.

 

Selain itu, timbul isu berhubung visa yang digunakan kumpulan berkenaan ketika mereka dijangka membuat persembahan pada sebuah majlis di Los Angeles, esok.

 

Kumpulan K-Pop dikuasai oleh gadis-gadis muda dan lelaki dengan keanggotaannya melibatkan umur serendah 13 tahun. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.