India Berminat Belajar Skim Pencen Malaysia

NEW DELHI – India berminat belajar lebih banyak tentang skim pencen Malaysia dan untuk diguna pakai dalam perkhidmatan awam negara itu.

 

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata delegasi perkhidmatan awam India berada di Malaysia baru-baru ini sebagai susulan kepada Kumpulan Kerja Bersama bagi Perkhidmatan Awam dan Tadbir Urus yang ditubuhkan antara kedua-dua negara pada November, 2013.

 

“Mereka (India) mempunyai skim mereka sendiri tetapi India mahu JPA  berkongsi pengalaman JPA dalam menguruskan skimnya,” katanya kepada Bernama, di sini, selepas melakukan lawatan kerja di Karnataka dan ibu negara India, New Delhi.

 

Katanya selain skim pencen, India juga berminat dengan perkhidmatan dalam talian yang disediakan kerajaan Malaysia, khususnya Pusat Panggilan 1Malaysia  (1MOCC).

 

Pusat hubungan setempat itu beroperasi 24 jam untuk menjawab sebarang pertanyaan, aduan, cadangan atau maklum balas menerusi panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS), faks, e-mel dan sosial media.

 

Zabidi berkata ini selaras dengan dasar Perdana Menteri India Narendra Modi yang mahu membawa teknologi lebih dekat kepada rakyat menerusi dasar  “Digital India”, dengan jabatan-jabatan kerajaan sedang berusaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan menerusi pusat sehenti masing-masing.

 

Semasa di Delhi, Zabidi mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Jabatan Personel, Aduan Awam dan Pencen Devendra Chaudhry, sebagai susulan kepada memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani oleh Modi dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Kedua-dua pemimpin bersetuju bagi tujuh bidang kerjasama antara sektor awam kedua-dua negara, termasuk program latihan dan penempatan bahasa Inggeris.

 

Zabidi turut melawat Institute Administrative Staff College of India, Indian School of Business (ISB) dan English and Foreign Language (EFL) University di sini.

 

Beliau turut mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pelajar Malaysia di Mysore dan Bengaluru di negeri Karnataka.

 

Menurut pegawai JPA, kini terdapat kira-kira 820 pelajar tajaan JPA dan 830 pelajar tajaan MARA di kolej-kolej di negeri itu dengan kebanyakan mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan pergigian. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.