Exco Pemuda Pertahan Ismail Sabri, Dakwa Syed Hamid Bergaduh Dengan Semua Orang

Kuala Lumpur – EXCO Pemuda UMNO,  Nazir Husin Akhbar Hussin menyelar kenyataan Tan Sri Syed Hamid Albar yang menyifatkan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seorang menteri yang sombong dan bongkak.

 

Nazir melalui laman Facebooknya mempertahankan Ismail Sabri berkata, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu sebenarnya yang tidak disukai kerana sombong, bongkak dan tidak tahu menghormati orang lain.

 

Menurut Nazir lagi kenyataan itu berdasarkan pengalamannya ketika Syed Hamid menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.

 

“Pengalaman saya sendiri sewaktu Tan Sri Syed Hamid Menteri KDN. Habis dia gaduh dengan semua pegawai dan bagaimana dia mendongak langit dan menyombong,” tulisnya di Facebook.

 

Nazir Husin turut mempersoalkan sumbangan yang diberikan Syed Hamid sepanjang beliau menjadi menteri.

 

“Pada saya, Tan Sri patut duduk rumah jaga cucu. Dah tak perlu la sibuk-sibuk nak pegang apa-apa jawatan dan tak perlu nak mengata menteri lain tak betul.

 

“Satu jari awak menuding kepada orang lain empat lagi masih menuding pada awak semula . Tak perlu komen, cukup saya katakan, saya lagi meluat dengan komen awak Tan Sri. Patut dah berumur tu patut lebih matang dan bijak mengawal emosi bukannya nak sentap. Buang la ego tu meluat orang muda tengok,” tulisnya.

 

Nazir Husin berkata, berbanding Syed Hamid, Ismail Sabri seorang yang peramah dan mudah didekati semua lapisan masyarakat, mendengar pandangan serta mahu memperjuangkan isu anak-anak muda, ekonomi bangsa Melayu dan sedia turun padang berjumpa rakyat.

 

SuaraTV sebelum ini melaporkan kenyataan Syed Hamid yang marah dengan tindakan Ismail Sabri didakwa bersikap kurang ajar dan sombong.

 

Beliau ketika dihubungi SuaraTV semalam menyifatkan tindakan Ismail Sabri itu akan mengundang rasa benci masyarakat terhadap kerajaan.

 

Menurutnya insiden tersebut bermula apabila beliau cuba menerangkan isu kenaikan harga yang melibatkan pengangkutan awam kepada Ismail yang juga merupakan ahli majlis tertinggi UMNO.

 

“Pada mulanya saya tidak ingin menyebut sebarang nama, tapi kejadian tersebut perlu dihebahkan kepada orang ramai.

 

“Bila saya cuba maklumkan mengenai perkara tersebut (kenaikan harga adalah merupakan keputusan kabinet), dia (Ismail) terus menjawab ‘Tak, saya menteri kabinet saya tahu dan kita (mesyuarat kabinet) tidak pernah membincangkan mengenainya’.

 

“Lepas cakap macam tu, dia terus beredar pergi tanpa menunggu sebarang penjelasan daripada saya” ujar Syed Hamid lagi ketika menerangkan mengenai insiden yang berlaku selepas solat Jumaat di PWTC semalam.

 

Tidak cukup dengan itu, beliau kemudiannya memuat naik status di Facebooknya.

 

“Kalau saya jadi pengundi, saya tidak mengundi menteri macam ini. Buat orang benci pada kerajaan sahaja. malu kerajaan sahaja. Pada hal masa saya menteri dia tidak ada jawatan pun,” tulis Syed Hamid.

 

 

Baca: Ismail Sabri Menteri Kurang Ajar, Bukan KJ, Kata Syed Hamid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.