Wanita UMNO Sekat Orang Dari Gantikan Sharizat – Syed Ali Alhabshee

Kuala Lumpur – Pemimpin Umno, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee membidas sikap segolongan pemimpin parti itu yang mengharapkan balasan meskipun sumbangan dan jasa di dalam parti tidak seberapa.

Tegas Ketua Umno Bahagian Cheras itu, hal itu jelas kelihatan dikalangan orang-orang lama di dalam parti yang lebih sayangkan pangkat berbanding keikhlasan dalam berjuang.

“Jangan berharap apabila anda melepaskan sesuatu jawatan ini tiba-tiba nak minta jawatan lain pula. Inilah masalah orang-orang dalam Umno. Mereka tak mahu berubah, masih dengan khayalan mereka yang mereka ingat boleh buat kerja. Kononnya tanpa mereka Umno tidak berjalan,” katanya.

Syed Ali kemudiannya merujuk ‘kuasa mutlak’ Datuk Seri Shahrizat Jalil selaku Ketua Wanita Umno sejak 2009 yang lalu.

Ujarnya sikap tidak mahu kalah bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akhirnya memberi kesan negatif terhadap parti.

Sehubungan itu beliau menggesa pemimpin wanita itu segera berundur sebelum cemuhan terhadapnya semakin memuncak.

“Saya mengambil contoh di dalam Wanita. Pada saya tidak sesiapa yang boleh menggantikan Shahrizat, sebabnya beliau pun ‘block’ (sekat) orang daripada menggantikannya.

“Dari segi prestasinya beliau gagal memastikan tempat baru bagi Ketua Wanita dan tidak ramai dari golongan wanita menjadi menteri penuh,” tegasnya.

Shahrizat menjadi ketua pergerakan itu setelah mengalahkan penyandangnya Tan Sri Rafidah Aziz pada Perhimpunan Agung Umno 2008.

Pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, beliau menerima saingan daripada Datuk Azalina Othman Said untuk merebut jawatan itu, bagaimanapun bekas Ketua Puteri Umno itu akhirnya mengalah selepas menerima tentangan daripada penyokong Shahrizat.

Syed Ali sebelum ini lantang mempersoalkan kredibiliti Shahrizat yang dilihat gagal memantapkan pergerakan itu, apatah lagi dengan kontroversi yang terpalit terhadapnya.

Baru-baru ini Syed Ali menggesa Shahrizat meletak jawatan selepas bertindak meminta kuota bagi jawatan Naib Presiden Umno ditambah khas untuk wanita.

“Wanita Umno tidak boleh marahkan saya sebab saya bercakap benar atas kapasiti seorang ahli parti. Orang di luar sana melihat Umno seperti tak berani cakap (menegur). Bukan saya nak jadi jaguh atau juara. Saya hanya nak pastikan Umno kuat dan kembali dapat sokongan rakyat,” tegasnya lagi.

One thought on “Wanita UMNO Sekat Orang Dari Gantikan Sharizat – Syed Ali Alhabshee

  • June 23, 2018 at 7:15 pm
    Permalink

    nilah perangai mereka2 yg menjahamkan ….. tak fikir dosa ke…halal haram … tengok tudung takut…. bertutup2 ….haprak…. mudah2an insyallah satu satu salahlaku akan terbukti dan terbongkar nanti….dont worry…. kita nak keadilan dan kebenaran terbukti selama ini di yg sangkal2 macam nak rak?????? tepis ,sorok, langit itu tinggi sebenarnya…. maha suci allah swt maha mengetahui…. sekatlah nak sekat sgt…..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.