Wanita Maut Kereta Dipandu Bertembung Lori

Kampung Gajah – Seorang wanita berusia 34 tahun maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Jalan Kampung Gajah-Teluk Intan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa maut di tempat kejadian selepas tersepit di bahagian pemandu kereta Perodua Kancil.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.45 pagi dan sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati kereta mangsa remuk pada bahagian depan selepas bertembung dengan lori membawa muatan tanah.

“Pemandu Kancil didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan usaha mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat dilakukan, bagaimanapun mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

“Pemandu lori tanah pula sudah berjaya dikeluarkan orang ramai selepas kenderaan berat itu turut terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, operasi mengeluarkan mangsa diketuai Penguasa Bomba Kanan ll, K Wirasamy dan operasi tamat pada jam 7.45 pagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.