Surat Layang Juga Disiasat Dalam Melawan Rasuah – SPRM

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap akan menjalankan siasatan jika ada surat layang yang diterimanya mengandungi maklumat kesalahan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata bagaimanapun orang ramai diminta lebih bertanggungjawab dalam menyalurkan maklumat rasuah agar lebih memudahkan kerja penyiasatan.

“Kita teliti tetapi tapis, setapis-tapisnya. Kita tak buat kesimpulan mudah. Kalau ada maklumat yang boleh dikesan, ada isu rasuah, kita siasat. Kalau bukan isu rasuah, bukan tugasan kita.

“Jadilah masyarakat berintegriti memberi maklumat sebagai rakyat yang mempunyai sivik dan bertanggungjawab dengan maklumat yang diberikan.

“Dengan maklumat itu, kita dapat pastikan ia disiasat. SPRM tak pilih bulu, tak pilih kasih. Ada maklumat kukuh, kita akan bertindak. Kita bebas, telus dan profesional,” katanya ketika ditemui media di Majlis Berjalan Melawan Rasuah di Kuala Lumpur pagi ini.

Mustafar berkata orang ramai tidak perlu gentar melaporkan kegiatan rasuah kepada SPRM kerana undang-undang sedia ada memberi perlindungan kepada pemberi maklumat.

“Kita ada perlindungan Akta Pemberi Maklumat dan Akta Perlindungan Saksi. Jangan bimbang untuk mengemukakan maklumat sebab maklumat dan identiti dirahsiakan.

“Tindakan sivil atau jenayah tidak boleh diambil terhadap mereka. Sekiranya mereka memberikan maklumat yang benar, mereka dilindungi akta itu,” katanya.

Mengulas kejayaan sesuatu kes dibawa ke peringkat pendakwaan, Mustafar berkata kerjasama orang ramai amat diharapkan dalam menyalurkan maklumat kepada agensi itu.

“Persepsi senang dilontarkan, kata jabatan ini rasuah banyak atau sesiapa. Tetapi apa yang paling penting sejauh mana maklumat itu sampai kepada kita.

“Kalau orang hanya melontarkan maklumat rasuah mengenai seseorang tetapi maklumat yang sama tidak sampai kepada SPRM, tiada maknanya.

“Kadang-kadang maklumat itu hanya berbentuk surat layang tanpa nama siapa yang memberi maklumat. Sukar untuk kita lanjutkan penjelasan. Kalau ada yang mendakwa ahli politik tertentu terlibat rasuah, kita nak maklumat lebih lanjut,” katanya.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/surat-layang-juga-disiasat-kata-sprm#sthash.YEaeTyNl.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.