Remaja Lepasan SPM Maut Selepas Terjun Dari Van

Rompin – Tindakan seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjun dari kenderaan yang masih bergerak mengundang padah apabila dia maut akibat parah di kepala dan anggota badan di Kilometer 8, Jalan Bukit Pemandangan berhampiran Bukit Ibam, Muadzam Shah, dekat sini, malam tadi.

Kejadian pada 7.15 malam itu menyebabkan mangsa, Mohd Rosazwan Ashraf Rozaidi, 17, dari Taman Seri Inderapura, Kuantan, maut manakala bapanya yang dikenali sebagai Rozaidi berusia 40-an cedera ringan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, kejadian berlaku ketika van dipandu Rozaidi dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Kompleks Radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Bukit Ibam, dekat sini, ke kuarters berhampiran.

Namun ketika menuruni bukit, secara tiba-tiba brek kenderaan terbabit dikatakan gagal berfungsi menyebabkan ia meluncur laju.

“Situasi itu menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang belakang panik lalu bertindak membuka pintu kenderaan terbabit dan terus melompat keluar.

“Van yang dipandu bapanya kemudian hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan lalu terjunam ke dalam gaung kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa terjun,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.