VIDEO: Rakyat Johor Doakan Tunku Jalil Yang Sedang Gering

Johor Bahru – Kira-kira 3,000 penganut Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao, Soka Gakkai dan Bahai menyertai majlis mendoakan kesejahteraan Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, di Stadium Tertutup Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB), di sini.

 

Majlis yang bermula kira-kira jam 9 pagi turut dihadiri oleh Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong, Ahli Parlimen Tebrau, Khoo Soo Seang dan anggota Dewan Negara, Senator Chia Song Cheng.

Berucap pada majlis itu, Siew Kiong yang juga pengarah program berkenaan berkata, ia melambangkan muafakat rakyat negeri Johor selain taat setia kepada Raja.

Menurut Siew Kiong yang merupakan pengarah program, kejayaan majlis tersebut menunjukkan sikap permuafakatan yang dimiliki rak­yat Malaysia khususnya negeri ini tentang sesuatu perkara.

Doa Untuk Tungku Jalil

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Saya berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang kerana secara tidak langsung turut memupuk persefahaman antara kaum walaupun mempunyai kepercayaan yang berbeza,” katanya.

Difahamkan Tunku Abdul Jalil dimasukkan ke wad Diraja, Hospital Sultanah Aminah sejak 29 Mei lalu bagi mendapatkan rawatan berikutan mengalami kecederaan urat pada lengan kanan.

Disebabkan keadaan kesihatan Tunku Abdul Jalil itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan telah menitahkan agar sambutan Hari Ulangtahun Keputeraannya diadakan secara sederhana.

Yang Di Pertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli sebelum ini berkata, tidak akan ada istiadat penganugerahan pingat kebesaran serta istiadat sembah takzim pada tahun ini.

“Oleh sebab keadaan kesihatan Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil adalah terganggu, Tuanku Sultan Johor telah bertitah supaya sambutan ulangtahun keputeraan tahun ini diadakan dalam keadaan sederhana,” katanya.

Beliau berkata, solat hajat juga akan diadakan di Masjid Abu Bakar dan masjid-masjid di seluruh daerah Johor Jumaat ini selepas solat Maghrib bagi mendoakan kesihatan Sultan Johor.

Solat hajat itu katanya, juga akan mendoakan supaya kegeringan Tunku Abdul Jalil dipulihkan seperti sediakala.

Walaupun Abdul Rahim tidak menjelaskan lebih lanjut tentang masalah kesihatan dihadapi oleh Tunku Abdul Jalil, namun kenyataannya hari ini mengesahkan bahawa anakanda Sultan Johor itu sememangnya sedang gering.

Sebelum ini spekulasi tentang keadaan terkini kesihatan Tunku Abdul Jalil itu hanya bertiup kencang di dalam media-media sosial.

Walaupun istiadat penganugerahan darjah kebesaran Johor tidak akan diadakan tahun ini, namun Sultan Johor menurut beliau, mahukan acara-acara lain di daerah diteruskan seperti biasa.

Acara di daerah seperti majlis ikrar taat setia yang diadakan di seluruh daerah diketuai oleh pegawai-pegawai daerah perlu diteruskan, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.