Persefahaman Penjawat Awam, Kerajaan Pacu Pembangunan Sabah – Musa

Kota Kinabalu – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata persefahaman dan kerjasama erat terjalin antara pejawat awam dan kerajaan berjaya meletakkan Sabah di atas landasan tepat untuk memacu pembangunannya demi rakyat.

Beliau berkata kerjasama mesra, baik dan kukuh selama ini membolehkan perancangan, dasar, agenda dan program yang digubal kerajaan, dapat dilaksanakan dengan penuh komited, dedikasi dan iltizam tinggi.

“Ini amat penting kerana sehebat dan sebaik mana pun perancangan dasar dan program pembangunan untuk rakyat, tidak akan mencapai matlamat, tidak akan dapat dilaksanakan, tidak akan dapat dinikmati dan dimanfaatkan oleh rakyat, tanpa adanya kerjasama, sokongan, persefahaman, muafakat sesama kita,” katanya.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Perkhidmatan Awam Negeri Sabah 2014 di sini malam tadi. Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hasan.

Sementara itu, Ketua Menteri meminta penjawat awam agar terus memperkukuh usaha membudayakan integriti dalam perkhidmatan bagi memantapkan lagi keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam dan kerajaan selaras dengan Transormasi Perkhidmatan Awam.

Menurut Musa pengukuhan integriti perlu dilakukan selaras aspirasi tinggi rakyat terhadap perkhidmatan awam yang mahukan perkhidmatan cepat, telus serta berkualiti tinggi.

Katanya integriti berupaya meningkatkan imej positif kerajaan dari segi ekonomi di peringkat antarabangsa seperti terbukti dalam laporan Bank Dunia mengenai ‘Doing Business 2015: Going Beyond Efficiency and Transparency International On Corruption Perception Index 2014’.

“Kita (Malaysia) berjaya meningkatkan ranking dalam kalangan 189 negara dalam ‘Ease of Doing Business’ dari tempat 20 pada tahun 2014 ke 18 pada tahun 2015. Ranking dalam ‘Corruption Perception Index’ (CPI) dari 53 pada 2013 ke 50 pada tahun 2014, mengatasi Indonesia, Filipina dan Thailand,” kata Musa.

Katanya untuk tempoh lapan bulan pertama 2014, jumlah pelaburan direalisasikan dalam Koridor Pembangunan Sabah (SDC) telah meningkat secara signifikan iaitu RM19.75 bilion berbanding RM7.64 bilion pada 2013.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.