PDRM Akan Siasat Kes 1MDB – Ketua Polis

Kuala Lumpur – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukannya akan menyiasat kes yang dilaporkan oleh seorang ketua bahagian Umno berhubung syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lembaga pengarahnya.

Dalam satu kenyataan Khalid berkata siasatan itu akan dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID).

“Memandangkan laporan polis telah dibuat, cawangan jenayah komersial akan siasat dan bincangkan kes tersebut dengan Pejabatan Peguam Negara untuk arahan,” katanya.

Khalid juga tidak menolak kemungkinan bahawa pengarah syarikat terbabit akan dipanggil polis untuk siasatan.

Beliau mengulas mengenai laporan polis oleh naib ketua bahagian Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan Khalid semalam.

Dalam laporannya, Khairuddin menggesa polis menyiasat pengarah 1MDB dan memberi amaran bahawa beliau akan membuat satu laporan polis, ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika tiada tindakan diambil.

Khairuddin pada petang Jumaat, membuat laporan terhadap 1MDB mengenai dakwaan wujud aktiviti kewangan meragukan, termasuk pinjaman besar-besaran yang heboh diperkatakan, terutama oleh pembangkang.

Ketika ditemui di luar Balai Polis Dang Wangi, di ibu negara, selepas membuat laporan itu, beliau berkata, 1MDB gagal memberikan penjelasan betul kepada orang ramai, berhubung dakwaan mengenai isu bon, ejen, aset serta hutang yang dibangkitkan pemimpin pembangkang.

Khairuddin berkata, beliau yang bertindak sendirian tanpa dipaksa mana-mana pihak, akan membuat laporan sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), minggu depan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.