Orang Bukan Islam Di Penang Guna Kalimah Allah, Guan Eng Tidak Faham Undang-Undang

Shah Alam – Meskipun penggunaan, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak membabitkan bukan Islam, namun ianya perlu dilihat dari aspek Perlembagaan Persekutuan, tegas Timbalan Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Aidit Ghazali.

Beliau yang menyuarakan kekesalannya apabila mengetahui jaminan Lim Guan Eng tentang penggunaan ‘Allah’ semalam dalam masa yang sama hairan bagaimana perkara asas tentang perkara ini tidak diketahui oleh Ketua Menteri.

Jelas Aidit, apabila ketatapan yang diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya tentang agama dalam Enakmen Pentadbiran di setiap negeri akan terbatal sekiranya ia bertentangan dengan undang-undnag tertinggi negara itu.

“Walaupun dalam Enakmen Pentadbiran agama Islam negeri itu menyentuh dan bersabit orang Islam tapi kena faham mengikut Perlembagaan Persekutuan, apa-apa pun yang kalau bercanggah dengan ketetapan agama Islam maka perkara itu akan diketepikan.

“Maknanya kepentingan masyarakat tertakluk kepada mendahulukan agama Islam sebagai agama persekutuan,” katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.

Lim semalam memberi jaminan bukan Islam tidak dilarang untuk menggunakan perkataan ‘Allah’ di Pulau Pinang menggunakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 yang melampirkan fatwa mengenai larangan berkenaan pada 2010 tidak membabitkan bukan Islam.

Dalam fatwa di bawah Seksyen 48, enakmen bertarikh 7 Januari 2010, bekas mufti Pulau Pinang Datuk Hassan Ahmad mengisytiharkan 40 perkataan, termasuk ‘Allah’ yang hanya boleh digunakan oleh orang Islam dan Muslim sahaja.

Dalam pada itu Aidit menambah, hakikat bagi negeri yang tidak mempunyai raja atau sultan adalah tertakluk kepada kuasa Yang Di Pertuan Agong (YDPA), seharusnya disedari oleh Lim sekaligus tidak mengeluarkan kenyataan yang jelas bertentangan dengan titah bahawa Allah hanya boleh digunakan eksklusif oleh muslim dalam negara sahaja.

“Lim Guan Eng tidak layak menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, kerana pada asasnya dia sudah lupa bahawa Pulau Pinang walaupun tidak menjadi Raja atau Sultan tapi ia tertakluk kepada kuasa Yang DiPertuan Agong (YDPA).

“YDPA adalah ketua agama Islam bagi rakyat PP, jadi segala yang telah ditetapkan YDPA tetap menjadi penentu kepada penggunaan kalimah Allah ini.

“Jadi ini ialah perkara asas yang orang berpangkat Ketua Menteri perlu faham, dia bukan Ketua Menteri sebuah pulau yang terasing dari negara bernama Malaysia dan dia bukan Ketua Menteri yang terpisah daripada ketetapan fatwa kebangsaan dan perlembagaan persekutuan dan kuasa YDPA,” ujarnya.

Aidit tidak menolak jika Lim hanya mahu dipandang sebagai hero dan mahu mencari publisiti di kalangan masyarakat bukan Islam sehingga tidak sedar bahawa kenyataannya itu bakal mengundang ketidakpuasan hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.