Lawatan Najib Tentukan Hala Tuju Hubungan Malaysia-Korea Dan Asean

Daripada: Ahmad Fuad Yahya

Busan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakhiri lawatan empat harinya ke Korea Selatan dengan kejayaan berganda dari segi mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan menentukan hala tuju hubungan kerjasama dua hala dan serantau.

Kejayaan ini sudah tentu memberi makna besar kepada Malaysia yang akan mengambil alih kerusi Pengerusi Asean pada tahun depan.

“Lawatan ini dapat mengeratkan lagi hubungan Malaysia dan Korea Selatan serta menentukan hala tuju dalam aspek tertentu, sama ada dalam konteks hubungan dua hala mahupun dalam konteks Asean.

“Jelas bahawa Korea Selatan meletakkan kepentingan yang tinggi, Presiden Park Geun-Hye telah menyatakan bahawa dalam apa bentuk seni bina serantau sekalipun, dia tetap menghormati keutamaan Asean,” kata perdana menteri sebagai menyimpulkan hasil lawatannya itu.

Najib, yang diiringi Datin Seri Rosmah Mansor mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari sejak 9 Dis atas jemputan Presiden Park. Beliau meneruskan hari ketiga lawatannya itu dengan berkunjung ke bandar pelabuhan ini pada Khamis untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Korea Selatan.

Perdana menteri telah mengundang Park untuk melawat Malaysia pada tahun hadapan yang kebetulan genap 55 tahun hubungan diplomatik dua negara ini.

“Presiden Park mempunyai pandangan positif terhadap Malaysia, juga dari sudut apa yang telah kita capai dari segi sebuah negara. Program transformasi,” katanya.

Pada sidang kemuncak hari ini, kata Najib, Park turut menunjukkan kepada para delegasi inisiatif e-kerajaan dalam konteks Korea Selatan selain menggambarkan beberapa program penambahbaikan dari segi sistem penyampaian kerajaan yang dilakukan negara itu.

“Kita di Malaysia pun mempunyai program yang hampir sama, dan mencapai tahap prestasi yang membanggakan. Umpamanya kalau ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) untuk ganti pasport antarabangsa, kita boleh dapat yang baharu dalam masa 45 minit dan ini barang kali adalah yang terpantas di dunia.

“Banyak kejayaan yang kita capai di Malaysia yang tidak seharusnya diperkecilkan oleh kita sendiri,” katanya.

Kunjungan rasmi Najib ke Korea Selatan, yang merupakan kali kedua selepas menjadi perdana menteri, juga membuka ruang yang luas kepada pertukaran pendapat dan pengalaman dalam pelbagai bidang.

Lawatan pertama beliau ialah pada April 2011.

Perdana menteri berkata di Korea Selatan, penggunaan teknologi maklumat (IT) adalah begitu meluas.

“Pada jamuan tengah hari tadi, ada satu keunikan yang belum pernah dilakukan mana-mana negara di mana setiap hidangan itu menunya akan timbul di depan tempat kita duduk, atas meja itu ada sensor, nama jenis makanan itu akan timbul bila hidangan itu sampai.

“Ada tujuh hidangan semuanya, tiap satu hidangan itu ada huraiannya, dan huraian untuk saya adalah dalam bahasa Malaysia,” katanya.

Begitu juga dengan pengalaman perdana menteri menghadiri jamuan malam pada malam tadi apabila penggunaan IT bukan sahaja dibuat secara disesuaikan dengan individu, malah penggunaan IT yang canggih itu turut dijadikan satu kesenian yang segar dan dinamik.

Najib dan Rosmah berlepas pulang ke tanah air petang ini.

Delegasi Malaysia dalam lawatan rasmi ke Seoul sebelum ini turut di sertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin dan Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Hamzah Zainuddin.

Mustapa dan Hamzah turut menyertai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Korea Selatan di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.