Komuniti OKU: Kecil Hati Dengan Laporan Mengenai Orang Buta Jual Tisu

Kuala Lumpur – Sebuah portal berita digesa memohon maaf secara terbuka kepada komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU), khususnya golongan cacat penglihatan berhubung penerbitan satu artikel yang disifatkan menyinggung perasaan dan mengguris hati golongan itu.

Badan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Prihatin OKU Malaysia membuat gesaan itu melalui satu kenyataan hari ini, ekoran penerbitan artikel berjudul ‘Orang Buta Jual Tisu Paket Pakai Pemandu & Perolehi Pendapatan Sehingga RM2,500 Sebulan’ oleh portal berita berkenaan.

“Kita amat tersentuh dengan kenyataan yang disiarkan itu.

“Sebagai mewakili suara OKU umumnya, kami berpandangan ianya boleh mendatangkan salah anggap masyarakat terhadap isu sebenar yang dihadapi OKU.

“Kajian yang diketengahkan dalam penyiaran itu, tidak mendalami apa yang sebenarnya dihadapi golongan OKU yang menyara kehidupan sebagai penjaja bebas,” kata Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU Malaysia, Mohammad Faizal Che Yusof dalam kenyataan itu.

Selain pemohonan maaf secara terbuka, beliau turut menggesa laporan itu ditarik balik segera, supaya masyarakat tidak memandang serong kepada golongan OKU.

“Kami mengusulkan lebih sesuai agar satu platform disediakan, bagi membolehkan kami menjelaskan isu sebenar dan perlu diberi perhatian.

“Sekali lagi, kami menyeru mana-mana pengamal media untuk lebih berhati-hati dan menghalusi secukupnya isu berkaitan OKU, sebelum membuat sebarang penyiaran,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Mohammad Faizal turut mengucapkan terima kasih terhadap peranan yang dimainkan media, dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara mesra OKU.

Laporan dalam artikel yang diterbitkan portal itu, antara lain menyatakan kebanyakan orang buta yang memilih menjalankan aktiviti itu (menjual tisu), mampu memperoleh pendapatan bersih lebih RM2,500 sebulan, sedangkan lain-lain pekerjaan golongan cacat penglihatan, seperti tukang urut, penjual kerepek atau bakul, mahupun mereka yang menyanyi di kaki lima, hanya mendapat RM1,500 hingga RM1,800 sebulan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.