Kejayaan Harimau Malaya Ke Final Jadi Kebanggaan Rakyat M’sia

Oleh: Ahmad Muliady Abd Majid & Mazani Chan Yat Sin

Kuala Lumpur – Skuad Harimau Malaya pulang ke tanah air sebagai wira negara Jumaat setelah melayakkan diri ke final bola sepak Piala AFF suzuki 2014 dengan menyingkirkan Vietnam di Hanoi, Ahad malam.

Walaupun tidak ramai menaruh harapan tinggi sebelum sepak mula perlawanan separuh akhir di tempat lawan, skuad kendalian Dollah Salleh kini dihujani dengan ucapan tahniah dan kata-kata semangat daripada peminat setia termasuk Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Harimau Malaya sudah bangkit tapi kena pastikanlah masa final nanti. Pastikan final pun kita menang,” kata Perdana Menteri yang kini dalam lawatan di Korea Selatan kepada wartawan Malaysia.

Cabaran kali ini ialah untuk mengulangi kejayaan menjadi juara seperti dikecapi pada 2010.

Skuad Harimau Malaya, yang ketika itu dikendalikan oleh Datuk K. Rajagobal, tidak diletakkan sebarang harapan, melakar kejutan dengan mengalahkan Indonesia 4-2 untuk muncul juara buat pertama kali.

Kali ini, percaturan Dollah merombak kesebelasan utama dengan memasukkan dua pemain veteran iaitu Indra Putra Mahayuddin dan Muhammad Shukor Adan nyata menjadi kunci kejayaan skuad kebangsaan membenam Vietnam 4-2 pada aksi timbal balik selepas tewas 1-2 di Stadium Shah Alam, Ahad lepas.

Rajagobal yang membimbing skuad Harimau Malaya pada 2010 memuji kebolehan Dollah membentuk sebuah pasukan yang mantap.

“Tahniah kepada Dollah Salleh yang berjaya membawa skuad negara sehingga ke final dan saya harap skuad berkenaan dapat mengulangi pencapaian juara pada 2010.

“Saya lihat walaupun pemain kita terdiri daripada gabungan pemain lama dan baharu, namun mereka mempamerkan kematangan dalam setiap perlawanan yang dihadapi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Berkongsi kegembiraan ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Khairy juga memuji penyokong Vietnam yang mesra walaupun mendapat layanan buruk daripada segelintir penyokong Malaysia pada aksi pertama.

“Tabik pasukan kebangsaan HM! Tabik penyokong Malaysia yang pergi Hanoi untuk memberi semangat! Tabik penyokong Vietnam sebab begitu mesra dan besar hati selepas kejadian di Shah Alam! This is football!,” kata Khairy menerusi laman Facebooknya Jumaat.

Bekas pemain negara era 70-an, Bakri Ibni turut memuji corak persembahan yang digunakan oleh pemain skuad Harimau Malaya yang bijak memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki untuk menjaringkan gol.

Beliau bagaimanapun menasihatkan skuad Harimau Malaya supaya berwaspada apabila bertemu Thailand, kerana menurutnya, pemain Thai mempamerkan corak permainan pantas dan bertenaga pada kejohanan ini.

“Diharapkan pada aksi final menentang Thailand nanti, Dollah dapat merencanakan strategi terbaik untuk membantu pasukan negara muncul juara Piala AFF Suzuki buat kali kedua,” jelas Bakri yang membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 Moscow, Russia hasil kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan.

Sementara itu, ratusan penyokong Harimau Malaya menyambut kepulangan pemain-pemain negara yang tiba di KLIA pada pukul 5.36 petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.