KDN Nafi Ali Abdul Jalil Dibawa Pulang Ke Malaysia

Kuala Lumpur – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengeluarkan kenyataan menafikan aktivis politik Ali Abdul Jalil ada ditahan polis antarabangsa (Interpol) dan akan tiba di Malaysia tengah hari ini.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Brig. Jen. Fadzlette Othman Merican Idris Merican dalam satu kenyataan rasmi kementerian berkenaan.

Dalam kenyataan itu, KDN menafikan ada menahan Ali seperti tersebar dalam laman sosial Facebook.

Malah kata Fadzlette, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan jika mempunyai apa-apa maklumat terbaru berhubung perkara itu.

“Berita yang tersebar dalam laman sosial itu tidak benar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam mesej ringkas menerusi WhatsApp berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu.

Semalam, Ali memuatnaik status berkenaan dirinya yang berbunyi: “Aku diangkut Interpol … malam ni dibawa pulang ke Malaysia … esok tiba di KLIA dalam jam 12 tgh hari … Never give up”.

Ali yang kini berdepan tuduhan menghasut kerana menghina institusi Raja di negara ini melalui laman Facebooknya, melarikan diri ke Sweden bagi mendapatkan perlindungan politik.

Isnin lepas, Jabatan Imigresen mengumumkan pasport Malaysia Antarabangsa milik Ali ditarik balik berkuat kuasa serta merta.

 

Baca: Ditangkap Interpol, Ali Abd Jalil Mengaku Nak ‘Troll’ Orang Ramai

Baca: Ali Abd Jalil Ditangkap Interpol Dan Akan Dihantar Pulang Ke Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.