Jangan Serang Islam, Ini Perjuangan Kami

Kuala Lumpur – Perkasa hari ini memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu di negara ini agar tidak menyerang Islam jika tidak mahu berdepan dengan mereka, kata bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Rashid, yang juga naib presiden Perkasa, berkata mereka serius mempertahankan Islam dan tidak takut seperti parti-parti politik yang mempunyai kepentingan untuk mendapatkan undi.

“Jangan serang Islam. Ini perjuangan kami. Siapa berani seranglah. Kita akan perjuangkan. Perkasa makin kuat. Kita berdaya dalam negara ini jangan main-main.

“Badan politik kelihatan tak mahu atau takut untuk terlibat. Yang tinggal kitalah, Perkasa. Perkasa perlu main peranan untuk pertahan kedudukan dan ketua Islam.

“Hanya Perkasa yang ke depan apabila imej Islam diserang. Parti politik lain berdiam diri. Mungkin takut. Ada tekanan politik yang mahu dijaga sebagainya,” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika diminta mengulas isu persempadanan semula, Rashid berkata apa yang dimahukan pihak pembangkang ialah memastikan kemenangan mereka dalam pilihan raya.

Katanya, apa yang dituntut pihak itu juga adalah persempadanan semula dilakukan dengan memecahkan pengundi berdasarkan kaum.

“Masalahnya satu saja, puak pembangkang ini, dia nak suruh kita lakar biar mereka menang pilihan raya dalam kawasan itu. Itu saja, tiada lain.

“Mereka nak kumpul Cina dalam satu kawasan. Hak Melayu pula, nak kumpul semua Melayu dalam satu kawasan. Kita buat selama ini amat adil. Representasi bagi semua orang. Semua ada ruang untuk mengundi mengikut kebebasan mereka,” katanya.

Rashid berkata, tuntutan Bersih 2.0 yang mahu persempadanan semula tidak melibatkan pertambahan wakil rakyat tidak rasional kerana lanskap politik Malaysia berbeza dengan negara luar.

Katanya, pengundi di Malaysia lebih menganggap seseorang wakil rakyat itu sebagai pegawai kebajikan masyarakat dengan menjadi penghubung kepada jabatan kerajaan.

“Struktur mereka lain. Warga rakyat mereka adalah pembuat undang-undang. Wakil rakyat kita pegang fungsi lebih daripada itu. Wakil rakyat kita, rakyat lihat sebagai pegawai kebajikan masyarakat.

“Pergilah kawasan luar bandar mana pun. Wakil rakyatlah orang paling sibuk dalam dunia ni sebab pukul 3 pagi masih ada orang dalam rumah dia minta tolong macam-macam. Secara tak rasminya, negara dah kenal pasti wakil rakyat adalah yang menjaga kepentingan rakyat dalam semua segi.

“Kita tengok wakil rakyat dapat bertahan satu penggal saja jika mereka tak pedulikan rakyat. Menunjukkan rakyat Malaysia nak wakil rakyat jaga kepentingan mereka. Lagi banyak wakil rakyat, lagi baik untuk rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.