Interpol Buru 14 Rakyat Malaysia

Kuching – Seramai 14 rakyat Malaysia disenaraikan sebagai buruan polis antarabangsa atau Interpol atas pelbagai kesalahan termasuk penipuan, memiliki dadah, mencuri dan kes bunuh.

Memetik Utusan Malaysia hari ini, selain itu, 23 rakyat negara asing turut menjadi buruan badan berkenaan.

“Sumber memberitahu, setakat bulan ini, terdapat 37 individu disenaraikan nama mereka dalam buruan agensi tersebut setelah melakukan pelbagai jenayah,” kata akhbar berkenaan.

Jumlah itu katanya mengalami pertambahan berbanding 33 orang dicatatkan pada tahun lalu, meskipun ada beberapa nama yang pernah disenaraikan sebelum ini sudah tiada lagi dalam buruan.

“Dalam senarai terbaharu itu, rakyat asing yang paling ramai diburu ialah India dan Indonesia iaitu masing-masing lima orang, diikuti dua Thailand dan masing-masing seorang dari United Kingdom, Vietnam, Guinea, Iran, Myanmar, Amerika Syarikat, Singapura, China, Bangladesh, New Zealand dan Brazil,” kata akhbar itu lagi.

Antara kesalahan paling banyak dilakukan penjenayah tempatan dan asing yang diburu itu adalah penipuan iaitu 10 kes diikuti bunuh (7), kecurian dalam bangunan (5), dadah (5), pecah amanah jenayah (3), rasuah (2) dan masing-masing satu kes pemalsuan dokumen, bersubahat, mencuri, pecah rumah pada malam hari serta rompak dan curi motosikal.

Rakyat Malaysia yang menjadi buruan Interpol adalah Nyo Ah Hai, 50, yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes rompakan dan curi motosikal; Tak Mei Ming, 60, (menipu), Yeoh Guan Yong, 38, (penipuan), Jennifer Siew Kiem, 53, (menipu dalam transaksi dan jualan saham), Luan Siong Chiang, 37, (bunuh), Lee Che Ming, 68, (rasuah), Wong Jit Kiang, 58, (pecah amanah jenayah dan bersubahat).

Selain itu, turut menjadi buruan termasuklah Lim Han Choo, 59, (penyeludupan dadah), Rohaniza Aladib, 35, (menipu), Michael Soosai, 51, (pemalsuan dokumen dan ugutan jenayah), Halimah Hussein, 53, (bersubahat), Lim Yuen Soo, 54, (bersubahat dan membunuh), Tan Yoke Chung, 63, (rasuah) dan Tan Whai Onn, 54, (bunuh).

“Interpol turut memburu dua lelaki dan dua perempuan dari India iaitu Sharmeela Shajahan, 30, Rajeswari Thiyagarajah, 56, Rajapandi Ramalingam, 35, dan Somasundram Kathamuthu, 40, kerana menganggotai kumpulan melakukan jenayah kecuaian dalam bangunan di negara ini,” katanya.

Manakala seorang lagi rakyat India, Sailesh Lanchu Hiranandan, 50, dikehendaki kerana terlibat dalam kes penipuan dan tidak jujur menghantar harta yang diamanahkan.

“Antara rakyat asing dalam senarai buruan ialah David Austien De Montaige, 60, dari United Kingdom terlibat dalam kes penipuan, Ali Hedayati Muhamad Mehdi, 35, dari Iran (kecurian di kediaman), Sidiki Camara, 42, dari Guinea (penipuan), Abdul Ghani dari Indonesia, 42, (bunuh) dan Aliyas Mohd. Anu, 27, dari Myanmar (pecah rumah pada malam hari).

“Turut tersenarai ialah Chung Chun Lu, 72, dari China (pecah amanah jenayah), Selby Dean Freeman, 31, dari New Zealand (memiliki dadah), Tan Siong Nai, 59, dari Singapura (penipuan), Musfata Faris Sadeg, 69, dari Amerika Syarikat (pecah amanah jenayah) dan Mohamed Alauddin, 41, dari Bangladesh (bunuh),” katanya.

Utusan berkata, berdasarkan sumber itu juga, senarai tahun ini menyaksikan nama seorang rakyat Malaysia yang sudah lama diburu dan disenaraikan sebagai suspek pengganas oleh Amerika Syarikat, Zulkifli Abdul Hir @ Zulkifli Hir, 46, dikeluarkan daripada senarai buruan.

Walau bagaimanapun, senarai tahun ini menyaksikan tiada individu yang namanya disenaraikan dalam buruan Interpol terlibat melakukan kesalahan berkaitan jenayah seksual dan perdagangan manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.