Ibu Tunggal Yang Lumpuh Perlu Bantuan

Balik Pulau – Jika Roziyana Md Amin, ibu tunggal yang terlantar boleh bercakap, dia mungkin menyuarakan kebimbangan mengenai apa yang akan berlaku kepada tiga anak lelakinya.

Anak-anaknya yang berusia sembilan hingga 15 tahun itu, mungkin turut memikirkan perkara sama tentang nasib diri mereka.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Roziyana yang sudah 10 tahun ditinggalkan suami, kini lumpuh kaki kirinya dan otaknya hampir tidak berfungsi, selepas terbabit dalam satu kemalangan, dua bulan lalu.

Selepas bergelar ibu tunggal hingga sebelum ditimpa kemalangan, Roziyana bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas, bagi menyara diri dan anak-anak.

Kini, beliau hanya terlantar di katil dan tidak mampu lagi bekerja untuk menyara diri dan anak-anaknya.

Anak sulungnya, Muhammad Akmal Hakeem Abdul Ghani menyimpan hasrat untuk melihat ibunya kembali sembuh.

“Saya terlepas tiap saat yang baik bersama ibu sebelum ini. Ibu selalu membawa kami keluar menikmati makanan yang enak atau membeli-belah.

“Kini, sudah tiada orang yang akan membawa kami keluar lagi. Sejak ibu bapa saya bercerai, kami cuma ada ibu sahaja,” cerita Muhammad Akmal Hakeem.

Nasib yang menimpa Roziyana turut meninggalkan kesan mendalam kepada anak keduanya, Muhammad Aiman Hakeem, 13 tahun.

Muhammad Aiman bercita-cita menjadi seorang pegawai Bomba dan Penyelamat, kerana ingin membantu mereka yang dalam situasi kecemasan seperti yang pernah dialami ibunya, dua bulan lalu.

Mengimbas kembali insiden yang menimpa Roziyana, adik tirinya, Laila Saad, 58, menceritakan Roziyana ditimpa kemalangan, ketika dalam perjalanan ke bandar bersama rakannya.

“Sehingga hari ini, saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

“Saya cuma diberitahu, dia terlibat dalam kemalangan antara sebuah kereta dengan sebuah van yang hilang kawalan dan berpusing beberapa kali.

“Kemalangan itu menyebabkan Roziyana mengalami pendarahan teruk di kepala dan koma,” katanya.

Roziyana kini dijaga empat adik-beradiknya secara bergilir-gilir, kata Laila.

“Kami tidak mempunyai wang mencukupi, kerana tiada pekerjaan tetap. Saya hanya mengambil upah mengasuh anak orang.

“Rawatan perubatan kakak saya pula kira-kira RM2,000, termasuk formula khas yang dia makan daripada tiub serta lampin dan juga yuran pengangkutan, setiap kali dia menerima rawatan di hospital,” kata Laila.

Anak bongsu Roziyana kini tinggal bersama bekas suaminya selepas perceraian, manakala dua lagi anak lelakinya tinggal bersamanya.

Keluarga ini terpaksa menghadapi pelbagai dugaan, terutama masalah kewangan bagi memastikan Roziyana dijaga rapi.

Laila turut menceritakan keadaan keluarga mereka, apabila mengetahui peluang Roziyana untuk pulih semula tipis.

“Percubaan untuk mendapatkan bantuan insurans perubatan daripada tempat kerjanya sia-sia, kerana kami tidak dapat membayar untuk mendapatkan laporan perubatan yang akan dikeluarkan.

“Kami juga telah memohon bantuan zakat dan pernah ke Jabatan Kebajikan Negeri (JKN) untuk mendapatkan bantuan kewangan,” katanya.

Laila berkata, pihaknya amat berterima kasih, jika ada yang bermurah hati menghulurkan sebarang bantuan untuk membantu Roziyana dan anak-anaknya, terutama bekalan perubatan dan juga kos ulang-alik menerima rawatan di hospital.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional ibu Roziyana – 0720029000133835 – di bawah nama Cik Kiah Md Abu atau hubungi Azmi Elias di talian 017-4354292.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.