FAM Percaya Harimau Malaya Mampu Julang Piala Suzuki AFF 2014

Sepang – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) percaya skuad Harimau Malaya mampu menjulang Piala Suzuki AFF 2014, menentang pasukan Thailand pada final timbal balik pada 17 dan 20 Dis ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Harimau Malaya harus menang pada perlawanan final jika mahu terus diingati peminat bola sepak tanah air.

“Kita memang tidak ada pilihan lain, kita perlu menang kerana orang akan ingat kalau kita menang piala tapi orang tidak akan ingat kalau kalah…lupa. Manisnya adalah jika kita bergelar juara.

“Saya harap Harimau Malaya tidak akan lepaskan peluang untuk menang kali ini. Saya sudah tekankan kepada pemain, supaya perjuangan kita tidak sampai di sini sahaja. Ambil peluang beraksi di Kuala Lumpur, untuk menang Piala AFF,” katanya sebaik tiba dari Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini Jumaat.

Ditanya sama ada padang Stadium Nasional Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam yang akan dipilih sebagai venue perlawanan final, Hamidin berkata keputusan akan dibuat Sabtu sebaik sahaja beliau melakukan lawatan ke Stadium Bukit Jalil.

Hamidin berkata pihaknya telah memaklumkan kepada Perbadanan Stadium Malaysia mengenai lawatannya itu untuk memastikan keadaan padang di Stadium Bukit Jalil sesuai digunakan bagi aksi final menentang Thailand.

Tiket bagi perlawanan akhir kedua pada 20 Dis ini akan dijual dengan harga RM10 dan RM50 di perkarangan stadium.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata beliau telah menghantar surat sebagai tanda penghargaan kepada pihak berkuasa Vietnam yang telah memastikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Vietnam berakhir dengan selamat.

Malaysia menewaskan Vietnam, 4-2 di Stadium My Dinh di Hanoi, sekali gus melayakkan diri ke saingan akhir menentang Thailand dengan kemenangan agregat 5-4.

“Walaupun Vietnam tewas kepada Malaysia malam tadi tapi para penyokongnya tidak membuat sebarang kekecohan dan ‘sporting’ …tidak membalas dendam terhadap insiden yang berlaku kepada penyokongnya di Shah Alam, Ahad lepas.

“Penyokong Vietnam terus balik sebaik sahaja perlawanan tamat dan tiada sebarang insiden liar berlaku sejak dari mula sehingga akhir perlawanan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.