Budak Perempuan 12 Tahun Diperkosa Bapa Tiri

Kuala Lumpur – Malang bagi seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang menjadi mangsa perkosa bapa tirinya lebih 20 kali, sejak akhir tahun lalu.

Bertambah malang apabila bapa tiri kanak-kanak itu melepaskan nafsu bintangnya ke atas mangsa sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairuldin Saad berkata, perkara itu terbongkar, apabila kanak-kanak yang tidak tahan dengan sikap suspek, bertindak menceritakan rahsia besar itu kepada ibunya.

Menurutnya, mangsa dirogol berkali-kali oleh bapa tirinya yang berusia 34 tahun, di rumah mereka di Kampung Cheras Baru, Cheras.

“Mangsa diperkosa suspek yang bekerja sendiri sejak Disember 2013, tanpa pengetahuan sesiapa.

“Suspek dipercayai mengambil kesempatan ke atas mangsa, ketika isterinya yang merupakan seorang kerani kilang alat tulis keluar bekerja,” katanya.

Khairuldin memberitahu, isteri suspek ada memberitahu, sejak kebelakangan ini juga, suaminya tidak bekerja dan hanya berada di rumah, dipercayai kerana menunggu peluang untuk memperkosa mangsa.

Difahamkan, mangsa merupakan anak luar nikah, hasil hubungan sulit dengan kekasih lamanya, sebelum dia berkahwin dengan suspek.

Tambah Khairuldin lagi, isteri suspek telah membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

“Bertindak di atas maklumat tersebut, kita telah pergi ke rumah mereka dan berjaya menangkap suspek yang berada di rumah, kira-kira jam 4 pagi semalam.

“Semasa serbuan dibuat di rumah tersebut, pengadu dan juga mangsa tidak pulang ke rumah, kerana mendapat perlindungan di rumah adiknya di Bukit Permai,” ujarnya.

Khairuldin berkata, mangsa sebelum ini tidak berani menceritakan kejadian yang berlaku ke atas dirinya, kerana bimbang akan dimarahi suspek, tetapi dia tidak diugut.

Mangsa tinggal serumah dengan suspek, sejak dia berumur dua tahun.

Rumah itu turut didiami dua lelaki dan seorang wanita yang merupakan bapa dan ibu saudara mangsa.

Suspek kini direman tujuh hari dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan, kerana melakukan sumbang mahram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.