1MDB: Khairuddin ‘Masuk Perangkap’ Pembangkang – Tengku Adnan

Kuala Lumpur – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mendesak Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan menarik balik laporan polisnya terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketika dihubungi Astro AWANI, beliau menyifatkan tindakan Khairuddin itu sebagai tidak wajar, tidak adil dan kebudak-budakkan.

Katanya, tindakan membuat laporan polis terhadap 1MDB bukanlah pendirian UMNO mahupun pendirian perhubungan negeri UMNO Pulau Pinang.

“Inilah masalah orang UMNO yang tidak faham perjuangan parti. Kita tidak boleh mendengar (sembarangan) cerita dari laman web, internet atau media sosial.

“Jangan kita termakan persepsi yang bukan-bukan dari pihak pembangkang. Dia pergi buat laporan polis, saya pun tak faham,” kata Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, beliau telah pun menghubungi UMNO Pulau Pinang tentang perkara itu dan dimaklumkan bahawa pihak UMNO negeri sedang membincangkan isu tersebut untuk dipertimbangkan tindakan selanjutnya.

Ditanya sama ada beliau merasakan Khairuddin patut diambil tindakan disiplin, Tengku Adnan berkata beliau akan mempertimbangkannya namun setakat ini Khairuddin masih belum melanggar apa-apa etika parti.

“Saya akan timbang apa yang dicadangkan oleh (UMNO) negeri… kalau dia langgar etika kita akan ambil tindakan, tetapi dia tak langgar lagi, jadi kita tunggu apa yang dia akan lakukan seterusnya,” jelas beliau.

Selain itu, Tengku Adnan turut memaklumkan beliau bercadang untuk bertemu dengan Khairuddin bagi menasihati beliau dan memintanya menarik balik laporan polis yang telah dibuat.

Sambil mempertahankan 1MDB, katanya banyak sumbangan yang telah dilakukan syarikat itu dan seperti syarikat-syarikat yang lain juga, sudah tentu ada untung dan rugi.

Beliau juga menasihati ahli-ahli UMNO lain supaya berbincang dan tanya sekiranya mempunyai masalah dan jangan sesekali mendengar kata-kata pembangkang kerana ianya akan membawa masalah.

“Mengapa kita harus masuk ke perangkap penipuan pembangkang?” soal Tengku Adnan.

Semalam, Khairuddin telah membuat laporan polis terhadap 1MDB tentang pentadbiran kewangan syarikat hak milik kerajaan itu.

Beliau berkata siasatan terperinci harus dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pengurusan kewangan yang dihadapi oleh firma pelaburan strategik negara tersebut.

Selain itu Khairuddin juga berkata beliau telah bersiap sedia menunggu reaksi dari Majlis Tertinggi UMNO, jawatankuasa disiplin UMNO, serta Setiausaha Agung UMNO.

Terbaru, 1MDB dalam satu kenyataan mengalu-alukan sebarang siasatan terhadap mereka kerana ia memberi peluang kepada mereka menangkis tuduhan yang disifatkan sebagai berniat jahat.

Syarikat itu juga yakin bahawa dakwaan yang dibuat tidak ada asas undang-undang. -Astro Awani

One thought on “1MDB: Khairuddin ‘Masuk Perangkap’ Pembangkang – Tengku Adnan

  • December 14, 2014 at 10:40 am
    Permalink

    Assalamualaikum….apabila kita ditegur..terima sahajalah..usah berdalih atau menyalahkan pihak lain. Orang atau pihak yg hebat dan profesional seperti Rasulullah menerima teguran pihak lain walaupun kanak-kanak atau orang tua. Cara ini kita dapat melihat intergriti mengikut konsep Islam dan bukannya mengikut kesesuaian kehendak kita sendiri. Kita Umno yg dah lama unggul mestilah menerima dan memulihkan keadaan secara berhikmah agar intergriti dilihat oleh rakyat. Usahlah kita ego dengan prinsip kita yg prejudis ini.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.