Zuraida Pertahan Tindakan Azmin Umum Awal Kemenangannya

PUTRAJAYA – Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, menyifatkan bukan satu tindakan yang salah apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat pengumuman tidak rasmi kemenangannya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, biarpun Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) belum mengeluarkan keputusan rasmi, Mohamed Azmin berhak berbuat demikian, seperti mana amalan mana-mana pihak yang bertanding dalam pemilihan parti mengumumkan kemenangan sendiri.

“Sebelum ini pun, ada pihak yang sudah umum menang di cabang sana, di cabang sini, walaupun pemilihan masih berlangsung.

“Jadi, apa salahnya dia nak umum kemenangan itu dan ucap terima kasih kepada penyokongnya atas sokongan yang diterima,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan persidangan kepimpinan wanita Tun Fatimah Hashim di sini, semalam.

Zuraida berkata demikian mengulas tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan tindakan Mohamed Azmin membuat pengumuman tidak rasmi kemenangannya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2018-2021.

Menerusi status yang dimuat naik menerusi akaun Twitter rasminya, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berterima kasih kepada semua anggota PKR yang bersamanya dalam meneruskan agenda reformasi.

Ditanya perasaannya sebagai salah seorang sekutu kem Mohamed Azmin yang memperoleh kemenangan besar, Zuraida berkata, beliau berharap gabungan atau komposisi yang dimiliki itu dapat melakukan pembaharuan dalam memperkukuhkan lagi parti.

“Beberapa kelemahan yang berlaku semasa pemilihan parti perlu diperbetul segera, antaranya dalam aspek pendaftaran ahli, sistem daftar pengundi dan penubuhan ranting,” katanya.

Zuraida yang turut menang jawatan Naib Presiden berkata, kekuatan parti perlu diperkukuh semula selepas pemilihan, apatah lagi PKR kini adalah parti utama dalam komponen Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan.

“Dalam pemilihan semua orang bertanding, jadi bila dah menang perlu kukuhkan kembali, bekerjasama dan bersikap profesional serta ketepikan perselisihan peribadi sepanjang pertandingan kerana yang paling penting adalah keutuhan dan masa depan parti,” katanya.

Selain Zuraida, kem Mohamed Azmin yang turut memperoleh kemenangan tidak rasmi adalah calon Ketua Wanita, Haniza Mohd Talha; calon Ketua AMK, Dr Afif Bahardin serta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang bertanding Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, kementeriannya akan mempertimbang dasar baharu menerusi penyediaan garis panduan yang mewajibkan infrastruktur bangunan baharu menyediakan kemudahan untuk golongan wanita.

“Kita belum ada dasar yang menyeluruh, umpamanya untuk pembinaan bangunan awam yang menyediakan surau dan tandas yang selesa untuk wanita, tempat penyusuan bayi selain ruang letak kereta khas bagi wanita.

“Aspek lain yang boleh dipertimbangkan ialah penyediaan laluan berpalang di kaki lima bagi keselamatan wanita yang mungkin berjalan berseorangan atau berada di laluan gelap bagi mengelak menjadi mangsa jenayah seperti ragut dan sebagainya,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.