Perkasa Sokong Himpunan Kebangkitan Ummah, Bela Kepentingan Melayu dan Islam

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan menyokong sebarang usaha untuk mengembalikan perpaduan orang Melayu dan Islam termasuk penganjuran perhimpunan aman.

Ketua Penerangan Perkasa Perak, Mohd Safian Sauri Pandak Abd Samad berkata, pihaknya sentiasa konsisten usaha itu tanpa berpihak kepada mana-mana parti politik di negara ini.

“Perkasa Perak menyokong sepenuhnya program Himpunan Kebangkitan Ummah pada 17 November 2018 di Pasir Salak.

“Perkasa Perak berpendirian akan menyokong sebarang usaha yang membawa kepada kekukuhan umat Melayu Islam tanpa mengira mana-mana parti politik dan juga badan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perkasa Perak

Beliau mengulas penganjuran program Himpunan Kebangkitan Ummah anjuran Gerakan Pembela Ummah Perak di Pekan Kampung Gajah, Pasir Salak, jam 8.00 malam, Sabtu ini.

Perhimpunan aman itu dijangka menyaksikan kehadiran pemimpin tertinggi UMNO dan Pas duduk sepentas, sekaligus kerjasama dua parti politik tertua di negara ini tidak lagi boleh dielakkan.

Mohd Safian Sauri berkata, usaha itu perlu diteruskan susulan kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan kian terancam sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara.

“Muktahir ini kedudukan Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan sedang hebat diganggu gugat dari segenap penjuru. Usaha-usaha seperti ini amatlah dialu-alukan.

“Perkasa Perak berharap program-program sebegini dapat diteruskan secara konsisten dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.