Kerana Isu LGBT, Pegawai Khas Exco Kedah Ugut Imam dan Khatib Masjid

TINDAKAN pegawai khas kepada Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh yang didakwa menggertak hampir 150 imam, khatib dan setiausaha masjid sekitar daerah Kuala Muda, bulan lalu, dibidas kerana melampaui batas dan tidak menghormati ilmuan.

Perkara terbabit didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim yang melihat tindakan pegawai yang juga bekas Ahli Parlimen Jerai itu membangkitkan rasa kurang senang para tetamu pada program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) di Masjid Tunku Puan Habsah, Sungai Petani, 24 Oktober lalu.

Beliau berkata, pegawai terbabit cuba menakut-nakutkan kepimpinan masjid yang berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat membabitkan pelbagai isu berkaitan agama dan sosial.

“Pegawai terbabit yang tidak mempunyai kelayakan agama didakwa menggertak imam dengan mengatakan dirinya memiliki senarai khatib yang dipantau olehnya.

“Dia mendakwa memantau para imam khususnya penceramah, pengkuliah dan khatib sendiri. Tindakannya itu cubaan menggertak para imam dan khatib yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang agama berbanding dia yang hanya dilantik secara politik.

“Selepas membuat ucapan menggertak, beberapa imam dan khatib secara spontan memberi amaran kepada pegawai terbabit supaya jangan hadir di masjid mereka. Sedangkan dulu, pegawai terbabit juga yang bermain politik dalam masjid dan mengkritik kerajaan terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas diminta mengulas tindakannya yang mencelah ucapan membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 negeri oleh Hanif Ghazali (PAS-Tanjung Dawai) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Ditanya hubung kait program terbabit dengan kehadiran pegawai terbabit, Ahmad Fadzli berkata, pihaknya percaya penganjuran program terbabit mempunyai kaitan tindakan seorang khatib menyentuh ketidakprihatinan kerajaan menangani pelbagai isu sosial termasuk lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kira-kira sebulan lalu di sebuah masjid sebelum penganjuran program itu.

“Tindakan khatib terbabit itu wajar dalam memberi kesedaran kepada semua pihak termasuk mengingatkan pihak berwajib lebih berwaspada terhadap aktiviti tidak patuh syariat yang dibimbangi mengundang bala,” katanya. – HMetro

One thought on “Kerana Isu LGBT, Pegawai Khas Exco Kedah Ugut Imam dan Khatib Masjid

  • November 22, 2018 at 12:44 am
    Permalink

    Telah ditegah..dlm media..mcm2 lagi mereka tk nk ubah… tk perlu layan lagi..dan tk perlu pun rumah..tandas.pejabat. atau lain2 yg khas untuk mereka!!! Bazir semuanya?? Tnggu je azab allah swt !! Byk lagi isu yg lebih berfaedah yg bolih bantu rakyat yg berakal dari lgbt ni??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.