Jika Iktiraf ICERD, Kerajaan Akan Berdepan Bantahan Jutaan Rakyat – PAS

KUALA LUMPUR – Pas memberi amaran keras akan turun ke jalan raya bersama rakyat sekiranya kerajaan mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) berkata, Parlimen tidak seharusnya digunakan untuk mengiktiraf konvensyen yang menindas Islam dan Bumiputera.

“Pas memberi amaran yang sekeras-kerasnya, jangan menyalah gunakan Parlimen kerana kemenangan PH.

“Ketahuilah bahawa mudah bagi Pas untuk mengerah berjuta rakyat ke jalan raya sekiranya Parlimen disalah guna untuk mengiktiraf agenda ICERD yang tidak adil terhadap Islam dan rakyat Bumiputera,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Amaran keras oleh Abdul Hadi itu diulang sebanyak dua kali dalam ucapannya.

Menurut beliau lagi, ICERD tidak boleh diterima di Malaysia sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

“Jangan lagi diganggu sehingga melampaui batas. Yang ada terkini jangan dilanggar lampu merah sedang bernyala, jangan bersikap laksana diberi betis mahukan paha,” katanya.

Katanya, peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sudah cukup untuk memberi hak keadilan dan hak asasi manusia kepada semua kaum di negara ini.

“Walaupun jumlah rakyat Bumiputera dalam bidang ekonomi dan pendidikan paling besar tetapi mereka masih ketinggalan. Begitu juga hak Islam yang masih banyak belum ditunaikan namun hendak dihapuskan.

“Kononnya atas nama hak asasi yang adil dan persamaan. Ketahuilah bahawa yang adil itu meletakkan sesuatu pada tempat sewajarnya bukan persamaan ikut kemampuan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.