Infografik Panduan Pemilihan Pengasuh Akan Dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Satu infografik mengenai kriteria dan panduan memilih pengasuh bayi dan kanak-kanak akan dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata panduan itu turut menyediakan maklumat mengenai tanda dan amaran awal yang perlu di ambil kira sebelum ibu bapa menghantar anak-anak mereka kepada pengasuh.

Katanya, panduan itu juga mengambil kira kriteria pusat asuhan kanak-kanak yang berdaftar selain pengasuh persendirian yang beroperasi di rumah.

“Infografik ini bagi memberi kesedaran kepada umum dan ibu bapa supaya sedar tanda-tanda yang menunjukkan anak mereka sesuai atau tidak dengan pengasuh atau adanya tanda kecederaan seperti lebam dan tanda menolak untuk tidak dihantar ke pengasuh,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan supaya semua pengasuh persendirian termasuk yang beroperasi di rumah diwajibkan berdaftar sebagai langkah pencegahan supaya tidak berlaku kes kematian kanak-kanak di rumah pengasuh dan pusat asuhan kanak-kanak.

Baru-baru ini dilaporkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dari Bandar Baru Bangi di Kajang, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal, atau lebih mesra dipanggil Zara menjadi mangsa dera pengasuhnya sendiri.

Bayi itu disahkan meninggal dunia, selepas dua hari dilaporkan tenat sebaik dirujuk ke Hospital Serdang, Rabu lalu.

Lawatan kerja pertama Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ke Bukit Aman itu turut disertai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, yang disambut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Dr Wan Azizah turut mengesyorkan bapa supaya menghantar anak ke pusat asuhan berdaftar dengan kementeriannya.

Katanya, bagi yang menghantar kepada pengasuh persendirian atau beroperasi di rumah, ibu bapa dinasihatkan jangan mudah percaya sepenuhnya kepada pengasuh yang mereka upah.

“Ibu bapa sendiri perlu mengambil langkah proaktif menjaga anak masing-masing dan memastikan keselamatan anak yang dihantar kepada pengasuh dengan melihat tanda-tanda yang mendedahkan anak kepada bahaya. Jangan hanya mengharapkan kerajaan saja,” katanya.

Beliau berkata, jika boleh, kerajaan mahu semua pusat asuhan kanak-kanak berdaftar tetapi pada masa ini, pengasuh yang mengasuh kurang daripada empat orang kanak-kanak tidak perlu berdaftar tetapi mereka digalakkan berdaftar dengan kementerian.

Mengulas cadangan hukuman mati tetap diteruskan bagi kes kematian bayi dan kanak-kanak, beliau berkata perkara itu sedang diteliti, malah kini kementerian mengadakan perbincangan serta mendapatkan maklumat daripada polis mengenainya.

“Dalam hal ini, kita juga menilai kes penyalahgunaan dadah seperti syabu dan ‘methamphetamine’ yang menyebabkan penderaan dan kes kematian kepada kanak-kanak. Kita bukan hanya melihat aspek hukuman mati saja tetapi hukuman lain yang dirasakan lebih bersesuaian,” katanya.

Ditanya tindakan perlu dikenakan kepada ibu bapa yang cuai kerana tidak memastikan keselamatan anak yang dihantar kepada pengasuh, Dr Wan Azizah berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan polis berhubung perkara itu.

“Bagi pengasuh di rumah, polis menyatakan akan melakukan risikan bagi menentukan sama ada berlaku kes penderaan atau tidak. Ibu bapa juga kena bertanggungjawab dalam menjaga anak-anak,” katanya.

Mengulas lawatannya, beliau berkata Pusat Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), perlu dinaik taraf kerana pusat itu menerima kira-kira 11,000 kes setahun.

“Kemudahan di bahagian ini perlu ditingkatkan. Saya mengambil perhatian serius dan akan menulis kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimana pusat itu boleh dinaik taraf kerana ia menjaga dan memberi perlindungan kepada kumpulan yang menjadi mangsa, ” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.