Bursa Saham Malaysia Jatuh Bawah Paras 1,700 Mata

KUALA LUMPUR – Faktor luaran dan domestik menyaksikan pasaran saham tempatan semalam ditutup rendah di bawah paras 1,700 mata apabila susut 0.7 peratus atau 11.95 mata kepada 1,696.14 mata dengan 452 kaunter rugi, 294 kaunter untung dan 360 kaunter tidak berubah.

Jumlah nilai dagangan juga merosot kepada 1.63 bilion unit bernilai RM1.32 bilion berban­ding 1.65 bilion unit bernilai RM1.8 bilion, Jumaat lalu.

Bagi prestasi ringgit, mata wang itu turut ditutup rendah pada paras RM4.1860 berban­ding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah berbanding Jumaat, pada RM4.1750.

Jangkaan Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah pada Disember ini dan kelemahan dalam prospek ekonomi China yang diumumkan Rabu ini akan terus memberi kesan kepada keadaan pasaran di rantau ini.

Dalam masa sama, Malaysia akan mengumumkan prestasi ekonomi pada suku ketiga 2018, Jumaat ini oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.

BNM minggu lalu me­ngekalkan kadar dasar semalaman (OPR) dan menjangkakan ekonomi Malaysia berada pada landasan pertumbuhan yang stabil pada 2018 dan 2019.

Pagi semalam, harga minyak kembali melonjak selepas jatuh secara mendadak pada minggu sebelumnya apabila Arab Saudi mengumumkan perancangan untuk mengurangkan bekalan kepada pasaran dunia sebanyak 500,000 tong sehari atau 0.5 peratus daripada bekalan glo­bal, Disember ini.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI), mening­kat 72 sen kepada AS$60.91 (RM254.98) setong manakala Brent pula melonjak AS$1.15 (RM4.81) kepada AS$71.33 (RM298.60) setong.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidik Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, petunjuk ekonomi Malaysia adalah perlahan sehingga prestasi ekonomi suku ketiga diumumkan .

“Apa yang perlu dipantau daripada prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan datang adalah sama ada data menunjukkan sebarang petanda kelembapan ekonomi melibatkan satu daripada ekonomi baharu paling penting di rantau Asia.

“Trend itu adalah sesuatu yang dihadapi pasaran sejak ak­hir-akhir ini disebabkan ketidakpastian luaran yang menghalang pelabur daripada melabur dalam pasaran ekonomi baharu muncul,” katanya.

Selain itu, menurut Jameel, antara perkara yang akan mempengaruhi pasaran kewangan global termasuklah pilihan raya pertengahan tahun di AS dan spekulasi perjanjian dagangan antara Presiden Donald Trump dengan China pada bulan ini.

Sementara itu, CIMB Research mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.6 peratus pada suku ketiga ini berikutan permintaan yang meningkat ketika tempoh tax holiday.

Katanya, keadaan ini berlaku di sebalik nilai komoditi dan pembinaan yang menurun sedikit, sejajar dengan langkah kerajaan menyemak semula projek-projek utama.

“Kami menjangkakan pertumbuhan yang kukuh dalam perkhidmatan mengatasi komoditi, menjadikan pertumbuhan KDNK lebih tinggi iaitu 4.6 peratus jika dibandingkan de­ngan suku kedua pada 4.5 peratus,” katanya.

Firma penyelidikan, MIDF Research pula menjangkakan pertumbuhan KDNK kekal kukuh pada 5.2 peratus tahun ini disokong oleh perbelanjaan domestik, peningkatan harga komoditi global, keyakinan perniagaan, pasaran buruh yang stabil dan tekanan inflasi semakin sederhana. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.