Apa Agenda Khalid Samad Bersungguh Mahu Kerajaan Iktiraf Harapan Coin, Soal Najib

SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa hairan apabila Menteri Wilayah, Khalid Samad begitu bersungguh mahu menjadikan Harapan Coin sebagai mata wang kripto kebangsaan dan digunakan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada masa depan.

Najib berkata, beliau ragu-ragu dengan agenda memperkenalkan mata wang kripto itu, apatah lagi penerangan mengenainya penuh dengan retorik dan justifikasi yang tidak berasas sebagaimana yang disediakan di laman webnya.

“Makin saya belek makin nampak pelik, lagi pelik bila saya perasan ia dikaitkan dengan YB Khalid Samad.

“Adakah Bank Negara akan bersetuju dengan Harapan Coin ini dan mengiktirafnya sebagai matawang rasmi?

“Begitu bersungguh-sungguh dia mahukan ini. Mengapa?

“Siapa sebenarnya yang untung daripada skim macam ini?,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Najib juga melahirkan kebimbangan dengan kenyataan Khalid bahawa Harapan Coin juga boleh digunakan dalam transaksi dengan kerajaan seperti pembayaran lesen, saman dan sebagainya.

“Apa agenda YB ni?

“Benda-benda pelik dan menimbulkan kemusykilan macam FundMyHome dan Harapan Coin ini yang dapat perhatian lebih daripada Kerajaan PH. Nasib rakyat tidak lagi terbela,” katanya lagi. 

Khalid hari ini berkata rancangan untuk menjadikan Harapan Coin sebagai mata wang kripto kebangsaan dan digunakan dalam pentadbiran kerajaan PH pada masa depan, masih diteruskan.

Khalid berkata cadangan berkenaan dikemukakan ketika pelancaran Harapan Coin pada Mei lalu dan ia bukan keputusannya sendiri.

Khalid yang juga pengasas bersama Harapan Coin berkata, secara peribadi beliau berpandangan penggunaan wang kripto adalah teknologi masa depan yang mempunyai masa depan cerah dan negara ini wajar memanfaatkan potensinya dengan sebaik mungkin. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.