Pesta Rakit Larut Catat Nama

SELAMA – Pesta Rakit Larut 2017 di Kampung Teluk Mas, Sungai Bayur dekat sini berjaya mencatat nama dalam Malaysia Books Of Record (MBOR) sebagai penyertaan peserta paling ramai dalam pertandingan rakit.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, antara tujuan utama penganjuran pesta rakit berkenaan adalah bagi memperkenalkan Selama kepada rakyat negara ini serta mengekalkan tradisi penggunaan rakit, lapor Bernama.

“Kita akan pertahankan penggunaan rakit yang dibuat menggunakan buluh agar generasi muda mengenali dan tidak melupakannya.

“Pesta ini juga dapat menarik pengunjung dari seluruh Perak, negeri berhampiran serta negeri lain yang berminat dengan sukan ini,” katanya, semalam.

Pesta Rakit Larut 2017 turut menarik lebih 10,000 pengunjung bagi memeriahkan acara yang membabitkan laluan Sungai Siputih sejauh empat kilometer bermula dari Kampung Teluk Mas hingga pekan Sungai Bayor, Selama.

Program itu merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat Parlimen Larut dengan kerjasama Perbadanan Nasional Bhd, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan JL 99 Group.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.