Permohonan Muhyiddin Batal Saman Bekas Ahli PPBM Ditetapkan 19 Januari

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 19 Jan depan untuk keputusan permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membatalkan saman bekas ketua aktivis PPBM Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin atas dakwaan memfitnahnya, April lepas.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani, yang mewakili Muhyiddin, dan peguam Hazwan Mohd Nor bertindak bagi pihak Mohd Anas.

Muhammad Faizal Faiz, ketika ditemui pemberita, berkata pihaknya berhujah bahawa tuntutan plaintif (Mohd Anas) gagal memenuhi elemen utama iaitu fitnah, yang mana tidak mendedahkan kausa tindakan munasabah, bersifat remeh dan menyusahkan serta menyalahguna proses mahkamah.

Hazwan pula berkata pihaknya berhujah bahawa defendan (Muhyiddin) tidak pernah menafikan beliau ada mengeluarkan perkataan-perkataan berunsur fitnah seperti yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutan.

Permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan Muhyiddin pada 23 Julai lepas atas alasan tuntutan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan munasabah, bersifat remeh dan menyusahkan serta menyalahguna proses mahkamah.

Pada 6 Jun lepas, Mohd Anas memfailkan saman fitnah sebanyak RM10 juta terhadap Muhyiddin dengan mendakwa bekas timbalan perdana menteri itu telah mengaibkannya sehingga ada yang memanggilnya dengan gelaran ‘lalang’ dan ‘tupai’.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Anas berkata beliau telah mengadakan sidang media pada 5 April lalu bagi mengumumkan 500 ahli PPBM keluar parti disebabkan tidak berpuas hati terhadap Muhyiddin yang mengamalkan konsep kronisme dalam parti.

Plaintif mendakwa berikutan daripada pengumuman itu, defendan telah mengeluarkan satu kenyataan ketika mengadakan sidang media di luar lobi Parlimen pada keesokannya (6 April) bagi menjawab soalan wartawan berhubung tindakan keluar parti.

Mohd Anas mendakwa kenyataan yang dikeluarkan defendan membawa maksud plaintif tidak jujur, tidak berkelayakan dan tidak berprinsip sehingga mencetuskan kebencian umum ahli-ahli dalam PPBM.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah dan kos selain perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbit atau menyiarkan semula kenyataan fitnah tersebut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.