Lubang Misteri Di Kudat Disyaki Kesan Penggerudian, Kata Pakar

KOTA KINABALU ― Lubang “misteri” yang menggemparkan di Kampung Rampai, Sikuati di Kudat didakwa kesan penggerudian pihak tertentu.

“Kesan gerudi itu mungkin dilakukan pihak tertentu dalam tempoh agak lama bagi tujuan eksplorasi atau kajian lapisan bumi,” kata profesor Shariff Abdu Kadir S. Omang.

Pakar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu juga berkata tekanan udara dalam lubang itu mampu mengeluarkan wap air, lapor Kosmo! hari ini.

“Cahaya yang dilihat seorang penduduk itu sebenarnya wap air atau udara yang terperangkap lama sehingga menyebabkan tekanan kuat pada kadar yang sangat laju.

“Sebab itu, ia kelihatan seperti cahaya keluar,” katanya seperti dilapor akhbar itu.

Penemuan lubang misteri sedalam 3.6 meter menjadi tumpuan penduduk kerana dilaporkan mengeluarkan “cahaya aneh terang menjunam dari langit”.

Malah pelbagai tanggapan dan teori muncul sekitar penemuan lubang itu, termasuk kononnya melibatkan objek terbang tidak dikenali (UFO).

Namun, Shariff menafikan ia ada kaitan dengan fenomena makhluk asing. “Ia juga tiada kaitan dengan UFO,” katanya.

Tokoh akademik itu turut menafikan ia berlaku kerana fenomena lubang benam yang kebiasaannya berlaku pada musim banjir.

Ketua polis daerah Kudat Supt Douglas Taong berkata tiada perkembangan baru berkaitan kes itu dan pihaknya tidak menemui lubang baru di situ. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.