Zizan Razak Disaman Lebih Setengah Juta

PETALING JAYA: Kemelut antara Zizan Razak dan bekas pengurusnya sampai ke kemuncak apabila pelawak itu disaman lebih setengah juta ringgit selepas aktor itu didakwa melanggar kontrak pengurusan ditandatanganinya.

Marina Juki selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap Zizan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dekat sini pada 6 November lalu.

Saman tersebut difailkan selepas Marina dari  Wire Fame Entertainment Sdn Bhd mendapati Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak, 30, melanggar syarat kontrak apabila dia bekerjasama dengan syarikat lain sedangkan perjanjiannya dengan Wire Fame masih belum tamat yang mana ia berakhir pada 5 Mei 2015.

Marina selalu plantif menuntut ganti rugi khas lebih RM500 ribu, ganti rugi am sebanyak 15 peratus ke atas semua pendapatan yang diperoleh defendan (Zizan) daripada syarikat pengurusan lain.

marina

Gambar fail Marina membuat laporan polis terhadap Zizan Razak pada Jun lalu selepas akaun bank syarikat Wire Fame disekat.

Dalam pada itu, Marina juga menuntut faedah lain sebanyak 5 peratus setahun dari tarikh pemfailan saman berkenaan.

Beliau juga turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada meneruskan kontrak dengan pihak syarikat pengurusan baru memandangkan dia masih lagi mempunyai kontrak yang sah bersama plaintif.

Marina turut membuat tuntutan ganti rugi bagi pelanggaran kontrak tersebut termasuklah kos dan lain-lain tuntutan munasabah oleh pihak mahkamah.

Terdahulu, Zizan dikatakan sudah tidak berhubungan dengan pengurusnya gara-gara masalah peribadi dan perkara itu membuatkan syarikat Wire Fame yang ditubuhkan bersama akan dibubarkan.

Masalah itu berlarutan sehingga Marina yang memegang saham sebanyak 30 peratus dituduh menyeleweng wang syarikat dan Zizan yang memegang saham terbesar sebanyak 70 peratus telah menyekat akaun bank syarikat.

Bagi kes berkenaan, Marina akan diwakili peguam Harjit Singh Sandhu dan Wan Norliyana.

-mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.