Pembelian Saham PNSB, Puncak Niaga Memudahkan Kerajaan Negeri Ambil Alih Operasi – Azmin

Shah Alam – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata dengan pembelian saham Pengurusan Air Selangor (PNSB) dengan Puncak Niaga Holdings Bhd memudahkan Kerajaan Negeri Selangor melalui Air Selangor mengambil alih dan menyusun semula operasi kedua-dua syarikat berkenaan.
Sekali gus, dapat memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (non-revenue water) yang merugikan rakyat serta memastikan bekalan air mencukupi secara berterusan.
“Dengan pembelian saham ini, sebahagian besar operasi dan aset air akan kembali kepada rakyat yang membolehkan Kerajaan Negeri Selangor melalui Air Selangor mula mengambil alih dan menyusun semula operasi SYABAS dan PNSB.
“Tumpuan utama akan diberikan kepada usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (non-revenue water) yang merugikan rakyat serta memastikan bekalan air mencukupi secara berterusan untuk rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Menurut Azmin, pihaknya juga berhasrat meningkatkan kecekapan perkhidmatan air yang lebih mesra rakyat dan responsif kepada pengguna di seluruh Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selain meneruskan proses pengambilalihan dua lagi syarikat konsesi air negeri itu.
“Langkah seterusnya di dalam proses penstrukturan industri air ini ialah memuktamadkan pengambilalihan dua lagi syarikat konsesi iaitu ABASS dan SPLASH mengikut kerangka dasar yang menjamin kepentingan rakyat Selangor.
“Saya yakin ada ruang-ruang yang perlu digunakan sepenuhnya oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang baru untuk memastikan penstrukturan industri air ini memberi nilai terbaik kepada rakyat Selangor secara menyeluruh,” tambahnya.
Katanya, ruang-ruang itu termasuklah memastikan pembinaan Projek Langat 2 (baik dari segi kapasiti, kos kejuruteraan dan pembinaan) dinilai secara objektif oleh wakil-wakil Kerajaan Negeri Selangor supaya tidak ada unsur-unsur pembaziran yang kelak akan membebankan rakyat.
Menteri besar itu yakin dengan amalan keterbukaan dan ketelusan yang dititikberatkan oleh pentadbiran baru Kerajaan Negeri Selangor dalam proses penstrukturan air, persetujuan dengan semua pihak yang terbabit untuk menyempurnakan penstrukturan air dapat dicapai dalam tempoh terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.