Noh Akan Dapatkan Nasihat Najib, Baiki Kelemahan Dan Penambahbaikan UMNO Selangor

Shah Alam – Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Umno Selangor.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu menjelaskan bahawa, pertemuan itu perlu bagi mendapatkan nasihat daripada Najib selaku presiden Umno untuk memperbaiki kelemahan selain berusaha melakukan penambahbaikan dalam parti.

“Buat masa ini saya belum berkesempatan bertemu dengan Datuk Seri Najib, mungkin selepas ini satu pertemuan akan diadakan dengan beliau untuk mendapatkan nasihat apa yang perlu dilakukan bagi perbaiki Umno Selangor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kolokium kepimpinan 2014 di Management and Science University di sini, Rabu.

Ketika diminta mengulas teguran Dr Mahathir  mengenai kepimpinan Umno Selangor yang dilihat gagal melaksanakan tugas mereka, Noh berkata tugas sebagai pengerusi bukan satu jawatan yang ‘glamour’ dan mudah.

“Bukan tugas yang mudah menjadi pengerusi Umno, ini bukan jawatan yang glamour … menteri besar (Selangor) itu ya jawatan glamour ” jelasnya.

Dr Mahathir sebelum ini turut mengkritik barisan kepimpinan Umno Selangor yang menurut beliau perlu berundur selepas mengalami kekalahan pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) dan PRU13.

“Mengenai itu, Datuk Seri Najib yang akan buat keputusan sama ada kepimpinan Umno Selangor perlu bubar atau tidak … beliau juga yang melantik saya, jadi keputusan itu beliau yang tentukan,” kata Noh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.