Kehadiran Filem Indie Punyai Potensi Disambut Penonton Tempatan

Kuala Lumpur – Di kala produser dan pengarah filem komersial berdepan kelesuan ketika ini akibat sambutan dingin penonton, senario berbeza berlaku apabila industri filem tanah air seolah menerima gelombang baru iaitu kemunculan filem berskala kecil.

Kehadiran filem sebegini didorong pembabitan golongan muda menggelarkan diri mereka sebagai pembikin filem indie berusaha menonjolkan karya bajet rendah tetapi mempunyai potensi terhadap sambutan penonton tempatan mahupun antarabangsa.

Sebagai contoh, filem indie Cina tempatan popular, ‘The Journey’ secara tiba-tiba memberi kejutan menerusi penceritaan dikatakan sangat dekat di hati penonton. Filem arahan Chiu Keng Guan ini berjaya mencecah kutipan RM17.16 juta.

Begitu juga filem KIL arahan Nik Amir Mustapha hanya membelanjakan kos pembikinan sebanyak RM 680,000,

Biarpun meraih kutipan di pawagam sebanyak RM510,000 tetapi formulanya tetap berjaya selepas diangkat sebagai Filem Terbaik termasuk empat lagi kemenangan pada Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) baru-baru ini.

Terdahulu, KIL ditayangkan di dua festival filem antarabangsa iaitu di Brazil dan Singapura.

Seterusnya, kemunculan filem indie terus menjadi bualan ramai termasuk Lelaki Harapan Dunia yang dijangka tayangan pada 27 November ini.

Menariknya, filem ini terlebih dulu menjengah festival filem antarabangsa di luar negara seperti Festival Filem Antarabangsa Locarno, Toronto, Nara, Vancouver dan Busan.

Sebuah lagi filem indie yang hangat diperkatakan adalah Terbaik Dari Langit yang dipertandingkan dalam kategori Asian Future pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo berlangsung pada 24 Oktober lalu sebelum menemui penonton tempatan pada 25 Disember tahun hadapan.

Indie lawan Komersial

Pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam, 60, berpendapat, sukar meramalkan sambutan filem tempatan ketika ini.

Namun, beliau menyatakan apa yang lebih penting kepada sesebuah filem adalah memberikan karya terbaik yang memikat perhatian penonton.

“Dalam situasi ketika ini, sukar untuk meramal kehendak pasaran. Jika kita hasilkan terlalu banyak filem dalam tempoh singkat, ia juga sebenarnya tidak bagus apatah lagi kesan filem itu boleh membabitkan filem lain yang mempunyai kualiti,”Bagaimanapun, wujud filem indie yang mendapat kutipan rendah tetapi bagus ditonton dan mempunyai nilai tinggi.

“Seperti KIL, ia sebuah filem yang bagus apabila masuk ke arus perdana tetapi formula ini boleh menjadi atau tidak,” katanya.

Mengambil contoh filem Abang Long Fadil arahan Syafiq, anaknya itu menyatakan pada mulanya tidak meletakkan keyakinan tinggi terhadap sambutan penonton tetapi ia berlaku sebaliknya.

“Sama juga Lagenda Budak Setan apabila filem pertamanya bagus tetapi sekuelnya kurang menjadi.

“Nasib sama juga berlaku pada Tanda Putera yang difikirkan bagus tetapi kurang sambutan.

“Jadi, agak susah meramal berbanding mengagak. Masalah sebegini bukan sahaja berlaku dalam industri filem tempatan tetapi Hollywood dan Bollywood juga berdepan masalah sama dalam meraih sambutan penonton,” katanya.

Pengiktrafan dan penerimaan Penonton

Bagi Syafiq, dia tidak mempunyai cara tertentu dalam menghasilkan sesebuah filem. Sebaliknya, dia optimis memberikan karya baru yang membawa kualiti filem tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi saya, apabila filem indie semakin diiktiraf dalam anugerah berprestij, ia menunjukkan sesuatu yang bagus.

“Pengiktikrafan anugerah boleh menaikkan semangat kita untuk menghasilkan filem yang lebih baik.

“Namun, ada juga filem komersial yang bagus tetapi tidak mendapat anugerah dan ini juga bergantung pada rezeki,” katanya yang turut menghasilkan filem indie, Villa Nabila.

Sementara itu, pelakon Sharifah Amani, 28 menyatakan keyakinan industri perfileman negara sedang menuju ke arah pemulihan memandangkan semakin ramai penggiat filem terutamanya golongan muda muncul dengan karya bersifat antarabangsa.

“Saya tidak rasa industri kita semakin merudum atau sudah nazak. Cuma, didikan mengenai karya filem sebenar kepada penonton masih belum cukup.

“Saya lahir daripada filem indie dan bermula menerusi filem Allahyarham Yasmin Ahmad.

“Saya gembira kerana sekarang ramai yang sudah membuka mata terhadap filem konsep sebegini,” katanya yang meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik kategori filem menerusi filem Indie, Psiko Pencuri Hati di Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) baru-baru ini.

Bagi pengarah berpengalaman, U-Wei Shaari, 59, strategi promosi sesebuah filem perlu dijalankan dengan sebaik mungkin untuk memastikan filem itu mendapat sambutan. Katanya, sehebat manapun sesebuah filem itu tetapi jika tidak dipromosikan dengan baik, ia akan gagal menarik perhatian penonton.

“Pembikinan filem Hanyut menelankan kos sebanyak RM18 juta dan saya tahu ia adalah bajet besar sehingga ada pihak mempertikaikannya.

“Namun, bajet pembikinan filem ini saya perolehi dengan hasil usaha saya sendiri beberapa tahun dulu.

“Apabila filem ini siap, saya terpaksa peram lama kerana filem bajet besar juga memerlukan promosi besar dengan kos tinggi.

“Jika ramai yang sering berkata, filem kita harus bertaraf antarabangsa maka promosinya juga perlu bertaraf antarabangsa,” katanya yang masih menunggu dana sebanyak RM2 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk tujuan promosi Hanyut.

Katanya, jika Hanyut gagal di pawagam bermakna ia memberi petanda industri perfileman tempatan belum bersedia setanding mahupun bertaraf antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.