Ilmuan, Pihak Berkuasa Islam Perlu Bincang Tangani Isu Pondan

Kuala Lumpur – Para ilmuan agama dan pihak berkuasa Islam di negara ini perlu duduk bersama, bagi membincangkan mekanisme terbaik untuk menangani isu berkaitan golongan transgender atau pondan.

Exco Pemuda UMNO, Fathul Bari Mat Jahya berkata, ketika ini, ketiadaan mekanisme berkesan, dilihat menyukarkan tugas penguatkuasaan bagi menangani isu berkenaan.

Menurutnya, urusan membabitkan hal ehwal agama Islam yang merupakan bidang kuasa di peringkat kerajaan negeri juga perlu dikaji semula, apabila membabitkan isu transgender.

“Dalam Islam, lelaki yang berperwatakan seperti wanita atau sebaliknya, sememangnya haram tanpa sebarang khilaf, maka sepatutnya undang-undang penguatkuasaan juga boleh diselaraskan di peringkat negeri dan pusat.

“Jadi, saya berharap para cendekiawan dan Jabatan Agama Islam Negeri boleh memikirkan kaedah terbaik yang boleh diguna pakai di seluruh negara, dan menjadikan keputusan mahkamah rayuan sebelum ini sebagai pengajaran,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan The Rakyat Post berhubung penyertaan dua rakyat Malaysia dalam Pertandingan Ratu Cantik Pondan Antarabangsa 2014 yang diadakan di Pattaya, Thailand, Jumaat lalu.

Berdasarkan laman web rasmi pertandingan itu, Cicie Sinclair atau dikenali sebagai Mohd Isnizan Iskandar yang berasal dari Sandakan, Sabah dan Hendra dari Marang, Terengganu, bersaing dengan 25 peserta lain untuk merebut gelaran juara.

Fathul Bari berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dikenakan terhadap individu yang terbabit dalam aktiviti itu, namun ia perlu dilakukan dengan teliti.

Jelasnya, dari sudut undang-undang Islam yang ada ketika ini, sememangnya mereka bersalah, tetapi ia perlu mengambil kira hak mereka sebagai rakyat Malaysia dan juga manusia.

“Apa yang mereka lakukan itu sememangnya salah, bukan sahaja dari sudut Islam, tetapi juga adab dan budaya masyarakat di Malaysia, tetapi janganlah sampai menyebabkan mereka dihina dan diberi layanan tidak sewajarnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat berpendapat, pihak berkuasa agama negeri perlu tegas dalam perkara itu, dan harus memikirkan tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka.

Jelasnya, jika sukar mengambil tindakan undang-undang, pihak berkuasa boleh memberi khidmat nasihat untuk memulihkan mereka.

“Tindakan sememangnya perlu diambil dan bagaimana caranya perlu difikirkan sebaik mungkin, dan sekiranya perlu menyemak semula undang-undang, ia perlu dilakukan,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.